suria

DAP sokong kaji semula kadar tol

PULAU PINANG: DAP menyokong kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mahu keputusan menaikkan kadar tol di lima lebuh raya dikaji semula memandangkan bukan masa yang sesuai berbuat demikian.

Setiausaha agungnya Lim Guan Eng berkata sehubungan dengan itu kerajaan pusat mesti mengambil tindakan tegas dan proaktif untuk menjaga kepentingan awam.

"Apa yang diumumkan oleh Menteri Kerja Raya Datuk Ir. Mohd. Zin Mohamed adalah terikat dengan perjanjian yang dibuat. Jadi tunggulah keputusannya nanti," katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam Ir. Mohd Zin mengumumkan kenaikan kadar tol di lima lebuh raya di antara 0.68 sen hingga 50 sen berkuat kuasa 1 Mac ini selaras dengan terma perjanjian konsesi antara pihak kerajaan dan pemegang konsesi lebuh raya.

Kenaikan kadar tol itu melibatkan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUs), Lebuh Raya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat(SPRINT), Lebuh Raya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH), Lebuh Raya Sungai Besi (BESRAYA) dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain