suria

Umno Kelantan harap jawatan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan

KOTA BAHARU: Umno Kelantan yakin Datuk Seri Najib Tun Razak akan membuat keputusan wajar dan adil berhubung cadangan agar jawatan Timbalan Presiden Umno tidak dipertandingkan dan keti-gatiga calonnya mencapai satu kompromi.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata terpulang kepada Najib selaku bakal Presiden Umno untuk membuat keputusan mengenai cadangan yang dibuat oleh Umno Bahagian Besut itu.

"Dalam hal ini semua Pengerusi Perhubungan yang bermesyuarat semalam, berpendapat terpulang kepada bakal Presiden dan calon-calon yang bertanding untuk memutuskannya.

"Ini kerana orang yang nak bertanding sudah nyatakan hasrat mereka, (dan) mereka ada hak dalam perlembagaan parti (untuk bertanding).

Dalam masa yang sama, Presiden punyai banyak pengaruh untuk tentukan banyak perkara, jadi terpulang kepada Datuk Seri Najib untuk ambil tindakan yang difikirkan patut," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Katanya Najib yang juga Timbalan Perdana Menteri telah meminta pandangan daripada semua Pengerusi Badan Perhubungan Negeri berhubung cadangan itu.

"Semua Pengerusi Perhubungan menyerahkan perkara itu kembali kepadanya untuk diputuskan dan akan menyokong apa saja keputusan yang dibuatnya.

"Keutamaan kita adalah untuk memulihkan parti dan memastikan beliau mengambil alih kepimpinan secara teratur dan beliau perlu diperkasakan," katanya.

Tiga calon Timbalan Presiden terdiri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Mohamed Ali Rustam.

Annuar juga berkata Umno Kelantan menghormati pendirian Anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, berhubung saranan sesetengah pihak yang mahukan beliau diterima kembali ke dalam Umno.

Annuar turut tidak menolak kemungkinan Ibrahim, bekas Ketua Umno Pasir Mas dan kini wakil rakyat Bebas, diterima oleh Umno jika Ibrahim sendiri ingin kembali.

"Kita hormati pendiriannya, bila sampai masanya dia ada perasaan nak masuk semula Umno, baru kita bincang perkara ini. Dalam politik, tak ada musuh kekal, dan juga tak ada kawan yang kekal," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain