suria

Suami isteri mengaku terlibat pengubahan wang haram RM1.3 juta

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap 22 pertuduhan terbabit dalam aktiviti pengubahan wang haram berjumlah kira-kira RM1.3 juta, antara tahun 2005 dan 2007.

Nurul Huda Ahmad, 30, menghadapi 18 tuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1,305,726 manakala suaminya Mohd Norzli Mohd Sidek, 34, menghadapi empat pertuduhan yang serupa membabitkan RM85,000.

Nurul Huda bekerja sebagai kerani akaun didakwa menggunakan wang hasil pengubahan wang haram itu antaranya sebagai deposit pembelian dan pembayaran pengubahsuaian hartanah, memindahkannya ke akaun suaminya dan rakannya Asfanizan Abdul Razak, 30, pembayaran penyelesaian penuh dua buah kereta dan bayaran caj penggunaan tenaga elektrik.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 20 Disember 2005 dan 10 Oktober 2007 di Affin Bank Berhad cawangan Kelana Jaya. Mohd Norzli yang bekerja sebagai kontaraktor pula didakwa telah melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu dengan menerima wang hasil daripada aktiviti haram tersebut antara 27 Mac 2006 dan 12 Jan 2007 di Affin Bank Berhad cawangan Kelana Jaya.

Bagi kesemua kesalahan tersebut mereka didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLA) yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM5 juta, jika sabit kesalahan.

Hakim Balqis Aini Mohd Ali kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM40,000 terhadap Nurul Huda dan RM14,000 terhadap Mohd Norzli sementara menunggu tarikh jatuh hukum yang ditetapkan pada 5 Mac.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Rahimah Abdul Majid meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM50,000 terhadap Nurul Huda dan RM20,000 terhadap Norzli.

Nurul Huda dan Mohd Norzli yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu agar mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah kerana keluarga mereka tidak mampu membayar jumlah ikat jamin tersebut.

Sambil menitiskan air mata Nurul Huda merayu agar jumlah ikat jamin tersebut dikurangkan agar dia berpeluang menguruskan empat anaknya yang masingmasing berumur antara setahun tujuh bulan dan enam tahun.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain