suria

PNSB: Khalid akui Khir terlibat, enggan dedahkan nama lain

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam enggan mendedahkan nama-nama individu lain yang terlibat dalam urus niaga pembelian pangsapuri mewah di Arab Saudi oleh Permodalan Negeri Selangor Bhd (PNSB) yang dipercayai wujud unsur penyelewengan.

Beliau berkata, bagaimanapun bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo sememangnya terlibat dalam urus niaga ini kerana beliau dikatakan menandatangani urusan pemindahan wang bagi pembelian hartanah tersebut.

"Khir Toyo terlibat tetapi individu-individu lain yang terlibat akan muncul selepas itu," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri di pejabatnya di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai lembaga pengarah PNSB yang mendapati terdapat kepincangan dalam pembelian hartanah 'Al Marwa Tower Makkah' di bawah nama menteri besar ketika itu, Mohamad Khir yang dibangkitkan oleh auditor luar.

Khalid berkata, pembelian 12 unit pangsapuri itu melibatkan transaksi RM25 juta, sedangkan lembaga pengarah dikatakan hanya meluluskan kira-kira RM8 juta untuk membeli lima unit pangsapuri tersebut.

Ditanya sama ada beliau akan mengadukan kes itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), beliau berkata belum tiba masanya lagi.

Berhubung penafian Mohamad Khir terhadap dakwaan itu, Khalid berkata, bekas Menteri Besar itu berhak untuk berkata apa pun.

Mohamad Khir hari ini dilaporkan berkata, semula angka dan fakta berhubung urusniaga tersebut telah didokumenkan dan oleh itu, tidak berlaku sebarang penyelewengan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain