suria

Pengarah syarikat dipenjara 15 tahun akibat bunuh isteri

KUALA LUMPUR: Seorang pengarah syarikat pengiklanan yang memukul isterinya tanpa belas kasihan hingga menyebabkan kematian enam tahun lalu dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Lim Yee Lan dalam penghakimannya berkata tindakan S.Kanagaratnam itu telah menyebabkan tiga anak mereka hilang kasih sayang seorang ibu dan perbuatan kejam itu amat serius daripada segi undang-undang.

Beliau berharap hukuman itu mampu memberi kesedaran kepada tertuduh yang telah berjanji untuk menyara anaknya setelah tamat menjalani hukuman.

Kanagaratnam, 44, mengaku bersalah melakukan homisid yang tidak terjumlah kepada kesalahan membunuh isterinya P. Vimalathevi, 32, di rumah no 31, Jalan 12/38C, Taman Sri Kepong, Sentul, di sini pada 11 malam, 15 Feb 2003, dan 4 pagi 16 Feb 2003.

Dia didakwa mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 20 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Lim memerintahkan Kanagaratnam menjalani hukuman itu bermula tarikh ditangkap, 16 Feb 2003.

Pada 23 Jan lepas, pada akhir kes pendakwaan, mahkamah telah menukar pertuduhan daripada mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (hukuman gantung) kepada Seksyen 304(a) kanun yang sama dan tertuduh telah mengaku bersalah pada 13 Feb lalu.

Dalam rayuan peguam R.V. Lingam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dalam tempoh yang pendek memandangkan Kanagaratnam telah ditahan selama enam tahun dan memberi peluang kepada anak guamnya itu mendidik anakanaknya yang berusia antara lapan hingga 13 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya Syaiful Nazrin Mohd Rahim pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berat dengan mengambil kira fakta bahawa mangsa berada dalam keadaan tidak dapat mempertahankan dirinya setelah dipukul bertalutalu oleh tertuduh.

Katanya, hukuman yang dijatuhkan mestilah mencerminkan keseriusan perbuatan tertuduh yang telah meragut nyawa isterinya sendirinya hingga menyebabkan anakanak terpaksa membesar tanpa kasih sayang seorang ibu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain