suria

MT Umno bincang persiapan pilihan raya kecil - Abdullah

KUALA LUMPUR: Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri Perak dan Kedah diarah membuat persediaan awal bagi menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang dan negeri Bukit Selambau yang akan diadakan serentak 7 April ini.

Ini adalah kerana kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan sebaik sahaja selesai perhimpunan agung Umno hujung bulan depan, kata Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno selama tiga jam di ibu pejabat parti itu yang berakhir awal pagi ini.

Perhimpunan agung Umno akan diadakan dari 24 hingga 28 Mac ini, sementara penamaan calon bagi kedua-dua kerusi tersebut dijadual pada 29 Mac dengan pengundian pada 7 April.

Perdana Menteri berkata, tindakan itu perlu memandangkan "mungkin kita tidak ada masa" untuk membuat persediaan bagi menghadapi kedua-dua pilihan raya kecil itu.

Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang, Perak diadakan berikutan kematian penyandangnya Roslan Shaharum daripada PAS pada 9 Februari lepas akibat diserang sakit jantung manakala kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah dikosongkan oleh penyandang V. Arumugam daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang meletak jawatan.

Abdullah juga berkata, pada mesyuarat ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan turut memberi penerangan mengenai situasi ekonomi dunia serta negara, dan menjelaskan tujuan kerajaan membentangkan pakej rangsangan kedua yang dikenali sebagai mini bajet pada persidangan Parlimen 10 Mac ini.

Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir yang ditemui selepas mesyuarat tersebut berkata, beliau telah menyenarai pendek calon Umno untuk kerusi Parlimen Bukit Gantang yang terdiri daripada orang tempatan.

"Senarai calon itu akan diserahkan kepada pucuk pimpinan dan kemudian akan diumumkan dalam masa terdekat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain