suria

Umno akan lebih baik selepas peralihan kuasa

KUALA LUMPUR: Umno akan menjadi sebuah parti yang lebih dinamik selepas proses peralihan kuasa Mac ini dan perubahan tersebut perlu bagi mengembalikan keyakinan akar umbi terutamanya golongan muda.

Demikian rumusan dua calon Naib Presiden ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Syed Hamid Albar yang juga Menteri Dalam Negeri, dan Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik yang juga pengerusi RISDA, ketika menjadi panel program Hujah yang disiarkan secara langsung oleh TV9, malam tadi.

Syed Hamid berkata, peralihan kuasa perlu kerana setelah rakyat berhadapan dengan suasana politik negara semasa, ada kehendak bahawa peralihan kuasa yang akan membawa kepada perubahan dalam Umno supaya kredibiliti, penerimaan kebolehpercayaan dan keyakinan rakyat terutama golongan muda dapat dimiliki semula.

"Harapan ialah dengan ada perubahan akan ada pendekatan baru, bila organisasi berubah pucuk pimpinan akan ada pengisian baru, pandangan pendekatan baru, jadi ia membentuk pasukan baru untuk membawa negara kita ke arah yang lebih ke hadapan.

"Kita kena lakukan sesuatu yang membawa impak kepada rakyat yang terperanjat dengan keputusan pilihan raya umum lepas...orang bukan Melayu pula merasakan mereka telah mempunyai kuasa politik yang kukuh, jadi pembaharuan diharap mengembalikan citarasa dan inspirasi orang Melayu yang mahu menjadi tunggak kepada pemerintahan negara...Ia sesuatu yang ditunggu-tunggu," katanya. Syed Hamid berkata, generasi muda tidak boleh dipersalahkan jika mereka terpedaya dengan dakyah pembangkang yang melabelkan Umno sebagai parti yang negatif kerana sikap Umno yang mungkin mengasingkan diri daripada golongan ini.

"Saya melihat kita tidak dapat bercakap dengan mereka...tidak boleh meyakinkan mereka...mereka baca internetweb portal, website...oleh itu kita kena berhadapan dan berhujah dengan mereka.

"Kita kena memahami kehendak generasi muda, kegagalan Umno adalah tidak sampai kepada golongan ini...Jangan ingat bahawa mereka pendapat berbeza dengan kita...mereka sayang kepada kita tetapi kita tidak menggunakannya untuk sampai kepada mereka...kita take for granted," katanya.

Syed Hamid berkata bagi mengembalikan semula keyakinan golongan muda adalah dengan menyampaikan mesej bahawa pemimpin Umno juga adalah generasi peralihan yang akan menyerahkan kuasa kepada generasi muda dengan membina landasan yang baik untuk mereka mewarisi.

"Orang muda mahu melihat imej kita yang baik di mana apa yang kita cakap kita lakukan, itu yang penting bagi mereka; mereka tidak mahu pemimpin bercakap tetapi membuat perkara lain. "Jangan kita dianggap menyalahgunakan kuasa...saya rasa ini patut diperbetulkan di peringkat Umno sendiri, di peringkat media yang Umno mempunyai pengaruh dan di peringkat ahli akademik sendiri," katanya.

"Saya harap dalam peralihan ini tidak boleh sekadar memperkukuhkan kerajaan tetapi juga memperkukuhkan parti kerana jika parti kukuh maka selamanya kita akan menjadi kerajaan," tambahnya lagi.

Sementara itu, Abdul Rahim berkata label Umno sebagai parti sombong, bongkak angkuh oleh pembangkang hingga menyebabkan generasi muda percaya, mesti diperbetulkan dengan kembali kepada asas iaitu apa yang dilakukan adalah sebagai fardu kifayah untuk agama bangsa dan negara.

Beliau juga menyeru kepada generasi muda untuk menanamkan rasa patriotisme dalam diri masing-masing dan mengenang perjuangan pemimpin terdahulu yang banyak berkorban kepada negara.

Program Hujah selama satu jam bermula jam 9.30 malam itu dipengerusikan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff. Ia diadakan di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain