suria

Protes SPRM, Pemuda Keadilan 'hadiahkan' lembu

SHAH ALAM: Kira-kira 50 ahli Angkatan Muda Keadilan (AMK) berarak ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di sini petang dengan mengelar 'Himpunan Semangat 46 Lembu' bagi mempersoalkan peranan dan operasi badan itu menyiasat kes-kes rasuah.

Perhimpunan yang dipimpin Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin, bermula pukul 2.15 petang, berarak mengikut sebuah lori yang membawa seekor lembu ke pejabat SPRM di Plaza Masalam.

Mereka turut membuat aduan baru di SPRM dan berada di situ kira-kira 45 minit.

Ketika ditemui media sejurus selepas itu, Shamsul berkata, AMK menghadiahkan lembu tersebut kepada SPRM sebagai simbolik agar mereka tidak berterusan menjadi 'lembu yang dicucuk hidung' oleh Barisan Nasional (BN) khususnya Umno.

"Sepanjang dua bulan sejak SPRM dinaik taraf menjadi sebuah suruhanjaya, pelbagai kecelaruan telah pun timbul.

"Dalam keadaan puluhan malah ratusan laporan rasuah yang dikemukakan badan tersebut dibakulsampahkan tanpa sebarang status.

"Bagaimanapun, dalam kes Tan Sri Khalid Ibrahim, ketika kertas siasatan yang masih berstatus rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi, Ketua Pesuruhjaya SPRM telah mendahului mahkamah untuk memulakan pendakwaan ke atas Tan Sri Khalid," katanya.

Shamsul berkata demikian ketika merujuk kenyataan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan yang berkata bahawa pihaknya ada bukti dan keterangan kukuh berhubung dakwaan bahawa Khalid, Menteri Besar Selangor, telah menyalahguna wang kerajaan negeri bagi tujuan penyelenggeraan kenderaan peribadi beliau dan pengagihan 46 ekor lembu korban sempena Aidiladha tahun lalu di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak.

Shamsul berkata, tindakan SPRM itu sangat bertepatan dengan kronologi usaha untuk menjatuhkan kerajaan negeri Pakatan Rakyat yang dikatakan dirancang oleh Umno dan BN di Selangor.

Katanya, kes melibatkan rasuah seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Umno dan rasuah politik seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno tidak didedahkan identitnya kepada umum, sedangkan kes-kes lain yang dikemukakan Pakatan Rakyat yang dikatakan mempunyai asas yang kukuh dipinggirkan begitu sahaja.

Shamsul berkata, pihaknya juga telah mengemukakan semula 20 laporan berhubung tuduhan rasuah terhadap bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo sepanjang menjawat jawatan Menteri Besar daripada tahun 2000 hingga Februari 2008 yang didakwa mereka tidak disiasat.

Katanya, selain itu, beliau turut memaklumkan mengenai pemilikan pangsapuri mewah oleh Dr Mohamad Khir di Arab Saudi.

Selepas sidang media kira-kira 10 minit itu, Shamsul kembali semula ke pejabat SPRM kerana dikatakan ingin memberi penjelasan mengenai lembu kepada suruhanjaya tersebut.

Shamsul ketika dihubungi selepas perjumpaan kedua selama kira-kira sejam itu berkata, pihak SPRM meminta beliau hadir semula pada Rabu hadapan berhubung 20 laporan semula terhadap Dr. Mohamad Khir.

Selain itu, Shamsul berkata, beliau turut disoal oleh tujuh pegawai SPRM diketuai oleh Pesuruhjaya Sektor Awam, Sazali Salbi berhubung tujuan pemberian lembu tersebut.

"Saya memberitahu mereka, ia bukan satu penghinaan tetapi sebagai sindiran dan peringatan kepada SPRM," katanya.

Katanya, SPRM turut memberi jaminan bahawa mereka akan menyiasat laporan yang dibuat oleh AMK dengan profesional dan bebas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain