suria

MT Umno bertemu malam ini, BN esok

PETALING JAYA: Majlis Tertinggi Umno malam ini dijadual membincangkan persiapan mengadakan pemilihan parti bulan depan dan menghadapi dua pilihan raya kecil awal April ini.

"Dimaklumkan, perkara utama dibincangkan dalam mesyuarat MT malam ini adalah mengenai isu persiapan dua pilihan raya yang akan berlangsung.

"Esok pula mesyuarat Dewan Tertinggi BN akan berlangsung pada pukul 9 malam di Menara Dato' Onn," kata seorang pemimpin Umno kepada mStar Online.

Dua pilihan raya kecil akan diadakan pada 7 April ini melibatkan kerusi Parlimen Bukit Gantang dan DUN Bukit Selambau.

Kekosongan kerusi Parlimen Bukit Gantang diadakan berikutan kematian ahli Parlimennya, Roslan Shaharum pada 9 Februari lalu manakala bagi DUN Bukit Selambau disebabkan ADUN kawasan itu, V. Arumugam meletak jawatan.

Sementara itu, Naib Presiden Parti Progresif Penduduk turut mengesahkan mesyuarat Dewan Tertinggi akan berlangsung esok.

"Saya akan mewakili Presiden PPP, Datuk M. Kayveas pada mesyuarat tersebut," katanya. Beliau bagaimanapun tidak mengetahui secara terperinci agenda mesyuarat yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut.

“Saya diberitahu ada agenda mengenai pilihan raya kecil, namun pada masa yang sama isu-isu berbangkit akan turut dibincangkan pada mesyuarat tersebut,” ujarnya.

Ahad lepas, Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengesahkan konvensyen khas BN yang dijadual berlangsung bulan ini telah ditangguhkan bagi memberi ruang kepada BN membuat persiapan rapi menghadapi dua pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Konvensyen khas BN itu, merupakan salah satu daripada lima inisiatif Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebelum melepaskan jawatan Presiden dan Perdana Menteri hujung bulan depan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain