suria

Mayat lelaki dipercayai penagih ditemui dalam sungai

ALOR SETAR: Seorang lelaki dipercayai penagih dadah ditemui mati lemas dalam sebatang sungai di Kampung Pegawai, Alor Mengkudu di sini hari ini.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Setar DSP Fiesal Libertus Abdullah berkata lelaki yang berumur lingkungan 40an yang belum diketahui identitinya itu, ditemui terapung dalam sungai berkenaan oleh orang awam.

"Polis menemui mayat itu setelah dimaklumkan orang awam kira-kira pukul 12 tengah hari dan berdasarkan pemeriksaan awal polis percaya lelaki itu berbangsa Melayu. Tiada pengenalan diri ditemui dan mayat sudah dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata lelaki itu dipercayai lemas dalam tempoh 24 jam yang lalu dan menurutnya kes itu diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

Feisal berkata polis percaya lelaki itu adalah salah seorang daripada kumpulan lelaki yang cuba melarikan diri dari serbuan polis cawagan narkotik yang mengadakan operasi di sekitar kawasan berkenaan semalam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain