suria

Mahkamah: Kenyataan Hakim dimasukkan sebagai keterangan

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan seorang penganggur untuk memasukkan kenyataan hakim perbicaraan sebagai keterangan dalam rayuannya untuk mengenepikan sabitan dan hukuman mati yang dihadapinya bagi kesalahan mengedar dadah.

Mohamed Musa Amanullah, 36, memohon untuk memasukkan kenyataan Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang R.K.Nathan iaitu "Make sure I do not see your face in my court anymore" (pastikan saya tidak melihat muka anda lagi dalam mahkamah saya) sebagai keterangan tambahan untuk menyokong alasan rayuannya bahawa Nathan telah terkhilaf apabila beliau tidak menarik diri daripada mendengar kes kedua dadah yang dihadapi Mohamed Musa.

Dalam petisyen rayuannya, Mohamed Musa berkata Nathan, yang telah bersara sebagai Hakim dan kini menjadi peguam, tidak sepatutnya mendengar kes Mohamed Musa kerana beliau sebelum itu telah mendengar kes pertama Mohamed Musa dan kemudiannya telah melepaskan dan membebaskannya daripada pertuduhan itu.

Hakim Datuk Haji Suriyadi Halim Omar, Datuk Heliliah Mohd Yusof dan Datuk Wan Adnan @ Addinan Muhamad sebulat suara membenarkan permohonan Mohamed Musa selepas mendengar hujahan peguam belanya Karpal Singh dan Timbalan Pendakwa Raya K.Mangai.

Dalam notis usulnya, Mohamed Musa mengemukakan salinan afidavit bersumpah oleh peguam yang mewakilinya (Mohamed Musa) dalam kes pertama iaitu M.Athimulan yang mengesahkan beliau ada mendengar Nathan mengeluarkan kenyataan itu kepada Mohamed Musa selepas membebaskannya daripada pertuduhan kes pertama pada 10 Januari, 2003.

Walaupun telah mendengar dan membebaskan Mohamed Musa daripada pertuduhan kes dadah yang pertama, Nathan tetap mendengar kes kedua dan mensabitkan Mohamed Musa dengan kesalahan mengedar dadah dan menjatuhkan hukuman mati terhadapnya pada 26 Mei 2004.

Mohamed Musa merayu terhadap keputusan berkenaan kepada Mahkamah Rayuan.

Dia dijatuhi hukuman mati bagi kesalahan mengedar 36,980 gram ganja "di kawasan kuarters perikanan", Jalan Akurium Gelugor, Pulau Pinang pada 4 Januari 1998.

Terdahulu, Karpal berhujah Nathan tidak sepatutnya mendengar kes dadah kedua Mohamed Musa kerana beliau telah mengadili kes yang pertama. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain