suria

Abdullah tidak akan memalukan kerajaan

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau tidak akan melakukan sesuatu yang memalukan kerajaan, setelah beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Ini tidak bermakna anda tidak boleh lakukan sesuatu. Anda boleh lakukan sesuatu (konstruktif) tanpa memalukan kerajaan," kata beliau pada jamuan makan malam sembang-sembang apabila ditanya sama ada beliau melihat sebarang peranan untuk beliau mengenai arena antarabangsa apabila beliau melepaskan jawatan.

"Saya lebih berminat untuk berbincang dengan Najib (Timbalan Perdana Menteri dan pengganti Datuk Seri Najib Tun Razak) sebelum saya ingin melakukan sesuatu (seperti itu)," kata Abdullah.

Majlis itu A Prime Minister's Passage yang juga dihadiri Raja Muda Perak Raja Dr Nazrin Shah dianjurkan oleh Kelab Perniagaan Kuala Lumpur di sini tadi.

Abdullah juga berkata bahawa beliau gembira bahawa Najib akan meneruskan misi nasional dan agenda nasional negara ke arah mencapai hasrat 2020.

Menjawab soalan mengenai pencapaian dan cabaran beliau, katanya beliau gembira bahawa beliau mampu memenuhi janji yang dibuat dalam bidang kehakiman dan anti-rasuah.

Beliau memberi contoh mengenai dua rang undang-undang Rang Undang-undang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (SPK) yang diluluskan Parlimen bulan lepas.

"Itu saya gembira. Ia satu janji sangat besar saya buat (dan dilakukan)," katanya. Abdullah berkata beliau berharap rang undang-undang mengenai pembaharuan polis akan juga dilakukan.

Abdullah berkata perubahan perlu dilakukan dalam aspek pendekatan untuk mencapai hasrat 2020 kerana cabaran kini adalah lebih kuat, sambil menambah bahawa dasar itu sendiri akan kekal.

Ditanya mengenai pujian rakyat pada lebih keterbukaan, Abdullah berkata:

"Nampaknya semua gembira dengan apa yang mereka fikirkan mengenai (lebih) kebebasan yang saya berikan (di bawah pentadbiran saya).

Bagaimanapun, Abdullah berkata rakyat mesti memikul tanggungjawab lebih jika mereka diberikan lebih banyak kebebasan.

"Anda mesti (juga) memikirkan apa yang baik untuk rakyat, bukan hanya apa yang baik untuk anda (sebagai individu).

Saya tahu bahawa tahap toleransi saya tinggi. Satu perkara...lebih kebebasan...anda mesti lebih bertanggungjawab. Tidak ada apa yang dikatakan kebebasan mutlak. Kita semua ada batasan dalam apa jua pun," kata beliau.

Abdullah menekankan bahawa jika seseorang lebih bertanggungjawab dan rasionale, Malaysia akan menjadi negara yang lebih baik, yang menarik lebih ramai pelawat dan pelaburan asing.

Mengenai SPRM yang akan dilancarkan esok, katanya beliau percaya bahawa suruhanjaya itu akan lebih aktif dalam misinya tidak lama lagi.

"Mereka memerlukan sedikit kuasa bagi memastikan apa sahaja mereka lakukan ...mereka perlu bebas. Itu apa yang kita mahu beri kepada mereka. Kita tidak mahu campur tangan," kata beliau.

Mengenai cabaran terhadap masyarakat Muslim di seluruh dunia, Abdullah berkata kemiskinan, buta huruf dan kurang kemajuan sebagai ancaman sebenar kepada orang Islam dan negara.

Sebab itu, katanya apabila beliau menjadi Pengerusi Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), beliau mengutarakan beberapa inisiatif untuk memberikan kepentingan dalam ekonomi kepada 57 anggota pertubuhan itu.

Ditanya apa yang beliau lakukan selepas melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri, Abdullah berkata beliau akan mempunyai lebih banyak masa untuk bermain golf, memancing dan melakukan sedikit kerja-kerja berkebun seperti menanam sayursayuran dan buah-buahan.

Bagaimanapun, Abdullah berkata beliau tidak akan menulis blog.

Ditanya apa yang akan beliau paling rindui sebagai Perdana Menteri, Abdullah berkata:

"Saya tidak tahu apa yang akan dirindui sehingga saya melepaskan jawatan," kata beliau.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain