suria

Perbicaraan Tian Chua tangguh kerana gangguan teknikal

KUALA LUMPUR: Mahkamah Majistret di sini hari ini menangguhkan kes perbicaraan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Tian Chang ke 31 Mac depan akibat gangguan teknikal.

Majistret Faizi Che Abu menetapkan tarikh itu selepas pihak mahkamah tidak dapat memastikan jangka masa bila penghawa dingin dan lampu di mahkamah itu pulih seperti biasa apabila masalah teknikal berlaku pada pukul 2.20 petang.

Mahkamah hanya sempat bersidang hingga 2.45 petang.

Faizi berkata beliau sudah menghubungi pihak pentadbiran mahkamah dan mereka tidak dapat memberi jaminan masa untuk memulihkan keadaan itu.

"Saya memahami mungkin ada yang tidak selesa disebabkan keadaan ini," katanya semasa mendengar kes Tian Chua, 46, yang didakwa atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap seorang anggota polis pada kirakira pukul 10.45 pagi, 11 Disember 2007.

Tian Chua didakwa sengaja menyebabkan kecederaan kepada Rosyaidi yang ketika itu sedang menjalankan tugas di jalan masuk ke Bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini.

Anggota Parlimen Batu itu didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan mengemukakan lapan saksi untuk memberi keterangan berkaitan kes itu.

Tian Chua diwakili peguam bela H.C. Lai.

Sehingga pukul 3.30 petang tadi, pihak pentadbiran mahkamah masih berusaha untuk memulihkan keadaan. BERNAMA

Artikel Lain