suria

PAS Selangor ramal asakan terhadap Pakatan meningkat

PETALING JAYA: PAS Selangor menjangkakan asakan-asakan terhadap kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat akan "bertambah genting dalam bulan-bulan mendatang" selepas tuduhan terbaru berkaitan salah guna kuasa dalam isu sumbangan lembu dan penyelenggaraan kenderaan.

Sehubungan itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali berkata, pihaknya mengutuk dengan sekeras-kerasnya segala usaha menumbangkan kerajaan negeri dengan berselindung di sebalik isu-isu yang berkaitan dengan keamanahan pada hal langkah-langkah tersebut mempunyai agenda tersembunyi.

"PAS Selangor sebaliknya mengalu-alukan usaha badan-badan penguatkuasaan undang-undang seperi SPRM menyiasat segala aduan yang ada kaitannya dengan persoalan integriti dan keamanahan atas pinsip "without fear and favor" dan tidak mendakwa secara berpilih-pilih," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan di sini.

Kata beliau, PAS Selangor ingin merakamkan rasa simpati terhadap apa yang dilalui Khalid Ibrahim bersama dengan keluarga khususnya yang berkaitan dengan pertuduhan salah guna kuasa seperti yang dilaporkan kelmarin.

"PAS Selangor sentiasa berdiri di belakang Khalid untuk mewujudkan pentadbiran negeri yang telus, berintegriti dan bertanggungjawab.

"Adalah amat malang pertuduhan itu terkena kepada Tan Sri sendiri yang tidak jemu-jemu mengingatkan ahli Exconya supaya pada setiap ketika mengamalkan prinsip-prinsip ketelusan dan keamanahan itu.

"Rakyat telah memilih parti-parti komponen Pakatan Rakyat untuk mentadbir negeri Selangor dan menjadikannya negeri idaman, bersih, maju, beramanah dan berkebajikan," katanya.

Dalam kenyataan itu, Hassan berkata, PAS Selangor mahu mengadakan pertemuan dari hati ke hati dengan pimpinan PAS negeri bagi mengetahui kedudukan perkara yang sebenarnya.

Selain itu, katanya, pihaknya mahu merujuk pandangan yang akan diambil kepada pimpinan tertinggi parti selain meminta ahli dan penyokong PAS khasnya dan rakyat negeri Selangor amnya mengambil sikap bertenang dan berlapang dada dalam menghadapi krisis semasa.

PAS Selangor juga kata beliau, mahu SPRM dan Peguam Negara bertindak dengan penuh kewibawaan dan darjah profesianalisma yang tinggi.

Artikel Lain