suria

Kerajaan kawal perbelanjaan calon pilihan raya tidak lebih RM200,000

KUALA LUMPUR: Kerajaan hanya mengawal perbelanjaan yang dibuat oleh calon pilihan raya tidak melebihi RM200,000 dan sebarang perbelanjaan yang dibuat oleh rakan-rakan calon tidak boleh diambil kira sebagai perbelanjaan calon.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata, sekiranya ada perbelanjaan yang dilakukan oleh rakan-rakan calon dalam pilihan raya, ia tidak boleh diambil kira sebagai sebahagian daripada perbelanjaan calon.

"Kalau perbelanjaan individu ini, kita tidak boleh kawal. Saya setuju bahawa di bawah akta, calon tidak dibenarkan berbelanja lebih daripada RM200,000 tapi kalau kawan-kawan calon, kita tidak boleh hendak halang," katanya ketika menjawab soalan Azan Ismail (PKR-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat, hari ini.

Azan dalam soalannya bertanya sama ada kerajaan bercadang untuk mengadakan peraturan supaya perbelanjaan pilihan raya oleh calon boleh dikawal.

Selain itu, Nazri berkata, setakat ini perbelanjaan bagi pilihan raya umum ke-12 adalah RM123.7 juta, sementara bagi pilihan raya kecil Permatang Pauh adalah RM409 ribu dan Kuala Terengganu adalah RM580 ribu.

Sementara itu, Nazri berkata, pilihan raya kecil mesti diadakan sekiranya wujud kekosongan kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) berikutan wakil rakyat yang meletak jawatan.

Beliau berkata, setakat ini, sekiranya seseorang wakil rakyat itu meletak jawatan, beliau tidak dibenarkan bertanding selama lima tahun.

"Selain itu, peraturan yang ditetapkan, apabila sampai tahun ketiga, jika berlaku kematian atau pengisytiharan muflis kepada seseorang wakil rakyat, barulah pilihan raya tidak diadakan.

"Ini bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat kerana pilihan raya umum akan diadakan setiap empat hingga lima tahun," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr. Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat).

Artikel Lain