suria

Jual kereta lama, potongan RM5,000 untuk kereta baru

ALOR SETAR: Jual kereta lama dan beli kereta baru dengan potongan harga sebanyak RM5,000 itu adalah antara cadangan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) untuk merangsangkan industri automobil negara.

Menterinya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata cadangan insentif pembelian kereta baru itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan sempena bajet mini yang akan dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 10 Mac depan.

Katanya insentif itu bertujuan meningkatkan pasaran automobil yang dipercayai merosot ekoran kelembapan ekonomi dunia.

Beliau berkata jika cadangan itu diterima, pemilik kenderaan berusia lebih 15 tahun yang mahu melupuskan kenderaan mereka berpeluang membeli kenderaan baru dengan pengurangan harga.

"Insentif RM5,000 itu mungkin dalam bentuk cukai eksais atau cukai jualan dan mekanisme pelaksanaannya sedang diteliti," kata beliau selepas menghadiri majlis perjumpaan bersama pemimpin Umno anjuran Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah di sini hari ini.

Setakat ini, terdapat lebih satu juta buah kenderaan berusia lebih 15 tahun dan sedang berada di atas jalan raya.

Kerajaan tidak boleh menghalang rakyat untuk menggunakan kenderaan lama ekoran tiada peruntukan undang-undang untuk berbuat demikian.

Muhyiddin berkata cadangan itu akan menguntungkan semua pihak iaitu pengguna mendapat insentif untuk membeli kereta baru, syarikat automobil mendapat pasaran tempatan yang memberangsangkan dan kerajaan memperoleh hasil menerusi cukai kenderaan. BERNAMA

Artikel Lain