suria

Jaminan Timbalan Perdana Menteri siasat kes tembak 6 lelaki India

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan bahawa tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya ada anggota polis yang didapati menyalahgunakan kuasa dalam kes enam lelaki yang ditembak mati di Kulim, Kedah.

Najib berkata, kerajaan mengambil serius perkara ini dan tidak akan bertolak ansur jika berlaku penyalahgunaan kuasa dalam insiden tersebut.

"Tindakan yang sewajarnya akan diambil tetapi penyiasatan perlu dijalankan terlebih dahulu," katanya kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa mengenai hal-ehwal kaum India di Parlimen di sini, hari ini.

Najib berkata, perkara tersebut turut dibincangkan dalam mesyuarat hari ini.

Isnin lalu, polis menembak mati enam lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan rompakan bersenjata api.

Mereka ialah pekerja kontrak R. Elangovan, 38, L. S. Santana, 34, kontraktor R. Pannir, 28, pemandu kren S. Vadivelan, 29, tukang kayu S. Gurusamy, 50, dan kalendan lori R. Dilip Kumar, 20.

Ketua Polis Negeri Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, dua daripada lelaki terbabit adalah antara penjenayah yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan beberapa kes jenayah.

Jumaat lalu, Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata, pembangkang akan mengusulkan kepada Parlimen bagi ditubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kes tersebut.

Katanya, penubuhan suruhanjaya itu penting bagi membolehkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberikan penjelasan terperinci mengenai kes kematian itu kepada kaum keluarga enam lelaki berkenaan dan rakyat.

Artikel Lain