suria

SPR: Tidak logik gesa Ibrahim letak jawatan, tanding semula

PETALING JAYA: Tindakan cabar-mencabar menggesa Ahli Parlimen Pasir Mas, Ibrahim Ali meletakkan jawatan dan bertanding semula demi menguji populariti tidak logik kerana "kelemahan" peruntukan undang-undang itu sendiri.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata, peruntukan 48(6) Perlembagaan Persekutuan tidak membolehkan seseorang anggota Dewan Rakyat ataupun Dewan Undangan Negeri daripada bagi satu tempoh selama lima tahun.

KOMEN IBRAHIM ALI

"Ia sebenarnya melibatkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan, yang jelas menyebut anggota yang meletakkan jawatan Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri, tidak layak bertanding selama lima tahun dalam mana-mana pilihan raya kecil dan umum.

"Jadi, bila PAS mencabar Ibrahim Ali, mungkin mereka terlepas pandang, kerana jika Ibrahim Ali letak jawatan beliau tidak boleh bertanding.

"Oleh itu, cabaran tidak logiklah... dia (PAS) hendak cabar Ibrahim Ali meletakkan jawatan," kata beliau ketika dihubungi mStar Online.

Semalam, Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ibrahim meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket bebas dalam pilihan raya kecil.

Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.

Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: "Keputusan Pas mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan)."

"PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket bebas jika benarbenar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan," katanya.

Kelmarin, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.

Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain