suria

Rakyat Singapura lari dari lokap mahkamah masih di Malaysia

SHAH ALAM: Seorang tertuduh rakyat Singapura yang terlepas lari dengan tangannya masih bergari semasa diiringi ke sebuah lokap di Mahkamah Shah Alam dua hari lepas, dipercayai masih berada di dalam negara.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Nor Azam Jamaluddin berkata, pihaknya percaya lelaki itu, Jay Chia Shao Kiat, 32, yang menghadapi tuduhan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, masih belum kembali ke Singapura atau atau ke Bangkok, tempat isterinya, seorang rakyat Thailand dipercayai tinggal.

"Sehingga kini kami sudah melakukan hebahan di semua balai polis bagi mengesan tertuduh tetapi belum ada maklumat positif diterima mengenainya," katanya di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Nor Azam berkata, alamat terakhir Kiat, yang kad pengenalannya bernombor S7777149B ialah di Blok 743, 0303, Jurong West Street 73, Singapura.

Katanya, berdasarkan maklumat yang diperoleh, Kiat adalah seorang guru bahasa Inggeris di Thailand.

Beliau meminta orang ramai yang terlihat tahanan terbabit agar segera menghubungi Bilik Gerakan di IPD Shah Alam atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Zaleha Mustapha di talian 03-55102222.

Nor Azam berkata, Kiat yang didakwa atas tuduhan mengedar dadah melarikan diri ketika diiringi dua anggota polis ke lokap mahkamah selepas dibicarakan di Mahkamah Tinggi di sini pada pukul 12.40 tengah hari.

Beliau berkata, Kiat bertindak kasar dengan menolak anggota polis berkenaan sehingga terjatuh sebelum melarikan diri.

"Kedua-dua tangan tahanan itu masih bergari di belakang ketika melarikan diri. Dua tahanan lain yang turut diiringi ke lokap bagaimanapun dapat dikawal," katanya sambil menambah, pihaknya akan terus menyiasat dua anggota polis terbabit berhubung kejadian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain