suria

Polis Marin rampas 3,240kg daging lembu seludup

PENGKALAN KUBUR: Pasukan Polis Marin Pengkalan Kubur berjaya menumpaskan cubaan menyeludup sebanyak 3,240 kilogram daging lembu beku dipercayai diseludup dari negara jiran di Pulau Tengkorak di sini, awal pagi ini.

Pegawai Pemerintahnya DSP Tan Cheng San berkata rampasan daging beku bernilai kira-kira RM45,920 dilakukan kirakira pukul 5 pagi hasil intipan sejak pukul 12 tengah malam semalam di perairan sempadan Malaysia-Thailand.

"Hasil intipan berkenaan anggota Polis Marin mengesan sebuah bot kira-kira pukul 1 pagi yang membawa muatan barang seludup menghampiri kawasan tebing muara Sungai Golok berhampiran Info Galeri Tengku Anis di sini," katanya kepada pemberita di sini.

"Ketika sampai di kawasan tebing itu tiga lelaki berkenaan kemudian memunggah barangan seludup berkenaan ke atas sebuah lori sebelum bersembunyi di kawasan menjemur ikan kering untuk mengelirukan pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata anggota marin kemudiannya bertindak menyerbu lori itu dan hasil pemeriksaan mendapati ia membawa muatan daging lembu beku dari negara jiran manakala kenderaan yang digunakan telah tamat cukai jalan.

"Bagaimanapun ketigatiga lelaki berkenaan sempat melarikan diri," katanya.

Dalam perkembangan lain, Tan berkata pihaknya turut menahan sembilan nelayan warga Thailand dan Myanmar yang didapati menggunakan buku pelaut palsu ketika menangkap ikan kira-kira 0.5 batu nautika berhampiran muara Sungai Golok kira-kira pukul 6.30 pagi ini.

"Hasil pemeriksaan mendapati tujuh daripada nelayan berkenaan menggunakan buku pelaut palsu, seorang lagi tidak mempunyai dokumen lengkap manakala seorang lagi mempunyai dokumen lengkap," katanya.

Katanya kesemua nelayan berkenaan akan diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain