suria

MIC letak calon tempatan di Bukit Selambau

KUALA LUMPUR: MIC akan meletakkan seorang calon tempatan yang diyakini boleh menjalankan tugasnya dengan baik sekiranya kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) memberikan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau kepada parti itu.

Presidennya, Datuk Seri S.Samy Vellu berkata, antara kriteria yang sedang dipertimbangkan ialah calon itu mesti seorang yang boleh bekerja, kenal kawasan tersebut dan pandai bertutur dalam loghat Kedah supaya senang untuk mendekati masyarakat tempatan.

"Sebenarnya kawasan itu, kawasan MIC sebab kita telah bertanding empat pilihan raya di sana, jadi tidak kira calon tua atau muda, asalkan rakyat suka atau tidak (kepada calon), itu yang lebih penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Biro Keanggotaan dan Pendaftaran Pengundi MIC Selangor di ibu pejabat MIC di sini hari ini.

Mengulas kenyataan Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir baru-baru ini bahawa peluang BN memenangi kerusi itu lebih besar jika calon Umno yang bertanding pada pilihan raya kecil 7 April, Samy Vellu berkata: "Beliau boleh cakap apa sahaja yang beliau suka, beliau tidak dapat mengubah keputusan peringkat nasional."

Kerusi DUN Bukit Selambau kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, V.Arumugan daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 8 Februari lepas.

Pada pilihan raya umum ke-12, Arumugam, 54, yang bertanding sebagai calon Bebas, menewaskan calon BN, S. Krishnan daripada MIC dengan majoriti 2,362 undi.

Samy Vellu berkata berdasarkan hasil lawatan awalnya di kedua-dua kawasan pilihan raya kecil, penerimaan masyarakat terhadap BN, khususnya MIC, adalah lebih baik berbanding pada pilihan raya umum lepas.

"Mereka (masyarakat) mengaku mereka telah buat silap (dengan mengundi Pakatan Rakyat (PR)).

"PR telah banyak berjanji kosong dan masyarakat di situ berharap bila kembali ke BN, masalah mereka boleh diselesaikan," katanya.

Beliau berkata, kemenangan seharusnya berpihak kepada BN baik di kerusi Bukit Selambau mahupun Bukit Gantang di Perak yang diadakan berikutan kematian anggota Parlimennya, Roslan Shaharum, 50, daripada PAS pada 9 Feb lepas akibat serangan jantung.

Katanya, kira-kira 1,000 anggota pergerakan Pemuda MIC telah ke Bukit Selambau dan 900 lagi ke Bukit Gantang untuk mengatur aktiviti mereka sepanjang proses pilihan raya kecil itu nanti.

"Tanpa sokongan mereka, saya percaya kita tidak boleh menang mana-mana pilihan raya, kita akan menghadapi lebih banyak masalah untuk menyampaikan mesej kita kepada rakyat.

"Pendekatan baru kita akan memperkuatkan Pemuda dan Wanita supaya seterusnya akan mengukuhkan akar umbi dan saya yakin MIC boleh jadi parti yang lebih elok daripada dulu," katanya yang turut menyasarkan 10,000 keanggotaan baru bagi pergerakan Pemuda MIC menjelang 2010. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain