suria

Kontraktor mati ditetak dalam rompakan

KLANG: Seorang kontraktor binaan mati ditetak di rumahnya di Lorong Batu Nilam, Bukit Tinggi II di sini hari ini.

S. Sivanathan, 31, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Rahimah pada pukul 11 pagi, akibat kecederaan teruk di kepala, badan dan kaki.

Kejadian itu berlaku kira-kira 9.15 pagi apabila rumahnya didatangi tiga lelaki yang bersenjatakan parang.

"Ketika itu isteri mangsa hendak ke pasar dengan kereta, sebelum tiga lelaki tiba-tiba muncul dan mengarahkannya masuk semula ke dalam rumah.

"Isteri mangsa kemudian dikurung di dalam sebuah bilik di tingkat bawah rumah dua tingkat itu bersama seorang anaknya, sambil diawasi oleh seorang suspek.

"Dua lagi suspek dikatakan meluru ke tingkat atas dan dipercayai menetak mangsa yang sedang berada di dalam bilik tidurnya," kata Ketua Polis Daerah Klang, ACP Mohamad Mat Yusop.

Beliau berkata, ketiga-tiga suspek kemudiannya melarikan diri dengan kereta milik isteri mangsa.

Katanya isteri mangsa, R. Kavita, 31, dan anak perempuannya yang berumur tiga tahun tidak dicederakan.

Mohamad berkata, motif pembunuhan masih dalam siasatan dan polis mendapati tiada barangan berharga di rumah itu yang dilarikan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain