suria

Karpal mahu undang-undang tegas ceroboh privasi

KUALA LUMPUR: Pengerusi DAP, Karpal Singh mahu undang-undang lebih tegas terhadap pencerobohan hak peribadi, terutamanya selepas penyebaran gambar bogel Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan, Elizabeth Wong.

Beliau berkata, hukuman bagi pencabulan hak peribadi mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM100, adalah satu penghinaan kecerdikan mana-mana orang.

"Denda itu tidak pernah dinaikkan meskipun selepas hampir 54 tahun Ordinan Kesalahan-kesalahan Kecil ini termaktub. Ini amat menghairankan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Pada awalnya, kata beliau. akta itu yang tidak memperuntukkan sebarang hukuman tahanan, tetapi denda tidak melebihi 100 dolar, namun pada tahun 1955, wang sebanyak 100 dolar adalah satu jumlah besar, itu sebabnya ia ditukar kepada RM100.

"Jabatan Peguam Negara seharusnya bertindak segera bukan sahaja memperuntukkan denda lebih besar tetapi juga hukuman tahanan yang lebih berat mengikut Seksyen 14 akta itu," katanya.

Karpal, yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor, berkata Jabatan Peguam Negara perlu melihat kepada apa yang beliau sifatkan sebagai "sepenuhnya tidak memadai dan ketinggalan zaman" peruntukan denda yang tidak melebihi RM100 dalam Seksyen 430 Kanun Prosedur Jenayah.

Beliau memberikan satu contoh kes mahkamah Singapura pada 2000 yang menyaksikan tertuduh dihukum penjara dua bulan kerana menceroboh hak peribadi seorang wanita menggunakan alat kamera video.

"Mahkamah negara ini perlu merujuk Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara bagi suatu tempoh yang boleh berlanjutan sehingga lima tahun atau dengan denda, atau kedua-duanya kerana menceroboh hak peribadi seorang wanita," kata Karpal.

Katanya, demi kepentingan awam, mahkamah perlu mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang didapati bersalah kerana menceroboh hak peribadi seorang wanita, apatah lagi dengan teknologi moden yang membolehkan kejadian seumpamanya berlaku, yang tidak terjadi pada zaman dulu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain