suria

Ibu bayi perempuan dicabul kesal sikap polis tidak serius

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri kesal dengan sikap anggota polis di Balai Polis Sentul di sini yang mereka dakwa memandang ringan dan bersikap berat sebelah terhadap laporan kes penderaan seksual terhadap anak perempuan mereka yang berusia setahun.

Mereka mendakwa, polis sehingga kini belum menahan suspek dipercayai mencabul anaknya itu sebaliknya menuding jari dan menuduh bapa kanak-kanak malang itu pula melakukan pencabulan itu.

Dalam kejadian Rabu lalu, ibu mangsa yang ingin dikenali sebagai Liew mengesan pendarahan pada kemaluan anaknya selepas diambil dari rumah pengasuh anaknya itu pada pukul 7 petang.

Liew yang bekerja sebagai kerani mendakwa anak perempuannya itu dicabul ketika ditinggalkan di rumah pengasuhnya yang terletak berhampiran kediamannya di Pangsapuri Melur, Sentul Timur di sini.

Ketika ditemui pemberita di kediamannya di sini hari ini, beliau berkata anaknya yang aktif dan periang sebelum ini berubah sikap menjadi pasif dan sering menangis selain mengalami demam panas dan tiada selera makan sejak kejadian itu.

Liew berkata, sebaik menyedari wujud pendarahan, beliau bergegas membawa anaknya ke klinik berhampiran sebelum doktor mengarahkannya merujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana mengesyaki berlakunya penderaan seksual.

Katanya, hasil pemeriksaan di HKL, doktor mengesahkan terdapat kesan cabul serius pada kemaluan kanak-kanak itu dan percaya kanak-kanak dicabul lebih daripada sekali sejak beberapa minggu lalu berdasarkan kesan kecederaan pada kemaluannya.

Liew berkata, beliau kemudiannya menghubungi pengasuh berkenaan bagi mendapatkan penjelasan bagaimanapun pengasuh anaknya itu mendakwa kanak-kanak itu tidak cedera ketika berada di rumahnya.

Liew bersama suaminya yang merupakan seorang mekanik kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, namun kecewa kerana mendakwa polis seperti memandang ringan dan sehingga kini belum mengambil sebarang tindakan.

Sementara itu, Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng ketika ditemui berkata, pihaknya akan menyediakan peguam bagi keluarga mangsa dan meminta polis bersikap telus dalam menyiasat kejadian itu memandangkan ia melibatkan pencabulan ke atas seorang kanak-kanak perempuan.

Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah ketika dihubungi mengesahkan pemeriksaan perubatan mendapati wujud kesan cabul pada kanak-kanak berkenaan dan polis sedang menyiasat lanjut kejadian itu.

Mengulas mengenai dakwaan polis tidak adil, Ku meminta keluarga mangsa membuat laporan berhubung perkara itu dan memberi jaminan polis akan menjalankan siasatan dengan teliti dan lengkap. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain