suria

Azmin: Elizabeth belum hantar surat letak jawatan

SHAH ALAM: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali menegaskan, kerusi Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan masih belum kosong kerana wakil rakyatnya, Elizabeth Wong masih belum meletakkan jawatan.

"Isu akan adanya pilihan raya tidak berbangkit kerana Wong belum menghantar surat letak jawatan, sebaliknya hanya menawarkan diri untuk berbuat demikian.

"Suruhanjaya Pilihan Raya hanya boleh mengadakaan pilihan raya kecil apabila wujudnya kekosongan kerusi sedangkan Speaker belum mengeluarkan sebarang surat mengenai perkara itu," katanya selepas menghadiri Retreat ADUN dan Ahli Parlimen Pakatan di Selangor di sini semalam.

Kelmarin, Wong dalam satu kenyataan selepas berlepas ke luar negara menegaskan beliau akan tetap meletakkan kesemua jawatan yang disandangnya.

Menurut Azmin, parti itu tetap menghormati keputusan ADUN terbabit, namun mereka perlu mendapat perkenan daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Shah terlebih dahulu.

"Sebagai sebuah kerajaan negeri Menteri Besar bertanggungjawab untuk mendapatkan nasihat daripada Tuanku.

"Selepas itu barulah parti akan duduk berbincang untuk tindakan selanjutnya.

"Saya tidak mahu buat sebarang spekulasi sehinggalah Menteri Besar membuat keputusan," katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya adakah PKR masih berpendapat isu penyebaran foto separuh bogel Wong bukan bermotifkan politik, Azmin menyangkal kenyataan tersebut.

"Kita masih lagi tegas dan percaya ini merupakan tindakan jahat dan terancang Umno dan Barisan Nasional untuk gugat kerajaan Pakatan di Selangor," katanya.

Ditanya adakah benar Azmin mengenali teman lelaki Wong yang dikenali sebagai Hilmi Malek secara peribadi beliau berkata:

"Perkara ini spekulasi sahaja. Saya sebagai pemimpin parti saya berkawan dengan semua orang, saya berkawan dengan ahli dan pemimpin Umno. Adakah ini isunya?

"Oleh kerana kes ini sedang disiasat oleh pihak polis jadi kami menyerahkannya kepada mereka siasat dengan telus dan adil."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain