suria

Nizar kosongkan kediaman rasmi MB esok

[DIKEMAS KINI] IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan mengosongkan kediaman rasmi Menteri Besar di sini esok.

Ketika bercakap kepada pemberita di sini ketika majlis makan tengah hari bersama pemimpinn dan penyokong PAS di sini, Nizar berkata, beliau akan berpindah ke satu lokasi yang dirahsiakan pagi esok.

Beliau dijadual keluar dari kediaman rasmi itu antara 10 dan 11 pagi.

"Saya tiada banyak sangat barang untuk dipindah keluar dari sini.

"Saya hanya mempunyai tujuh orang anak, yang perlu bawa dari sini," kata beliau sambil bersenyum.

Sejak kerajaan negeri pimpinan Pakatan Rakyat jatuh pada bulan lalu, Nizar berkata, beliau tidak akan keluar dari kediaman rasmi itu tetapi mengalah minggu lalu atas permintaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

Sementara itu, Pegawai Khas Nizar, Amran Harun berkata, penyerahan kunci berkenaan akan dibuat seperti yang diarahkan melalui surat daripada Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Bercakap kepada Bernama hari ini, beliau berkata, sepanjang tempoh berkenaan, pelbagai program keilmuan seperti sembahyang hajat, tahlil dan aktiviti keagaaman akan diadakan.

"Kita akan menggunakan sepenuh masa yang ada ini sebelum menyerahkan kunci kediaman seperti dalam surat yang dihantar minggu lalu," katanya.

Amran berkata, Nizar akan berpindah ke rumah baru yang disewa di bandar raya ini.

"Biarlah lokasinya dirahsiakan... untuk keselamatan dan menghormati keluarga beliau," katanya.

Beliau berkata, operasi memindahkan perkakas rumah milik bekas Menteri Besar telah dijalankan sebelum ini, termasuk memindahkan cenderamata dan hadiah yang diterima oleh Nizar.

Amran berkata, satu majlis khas akan diadakan 10 pagi esok bagi meraikan warga media yang telah bertungkus lumus menjalankan tugas sejak 4 Februari lepas membuat liputan peralihan kuasa kerajaan negeri Perak.

"Kami ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua warga media yang bekerja siang dan malam melaporkan setiap kejadian dan pengumuman yang dibuat," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain