suria

Nik Aziz enggan komen kemelut PAS, Ibrahim Ali

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan memberikan sebarang ulasan berhubung PAS Kelantan yang mahukan anggota Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletak jawatan ekoran tindakannya yang sering mengkritik parti itu.

Menteri Besar Kelantan itu juga enggan memberikan komen ketika ditanya berhubung permintaan Ibrahim supaya beliau mengesahkan sendiri bahawa PAS Kelantan mahukannya meletak jawatan sebagai anggota Parlimen.

"Tok se, tok se (tak nak, tak nak)," katanya kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai perkara itu ketika ditemui selepas merasmikan kursus kakitangan awam kerajaan negeri di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.

Takyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu telah diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.

Dalam reaksi spontan semalam, bekas anggota Majlis Tertinggi Umno itu berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain