suria

Raja Petra mohon semakan keputusan pelucutan kelayakan hakim

PUTRAJAYA: Editor Malaysia Today Raja Petra Raja Kamaruddin memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan pada Selasa yang enggan melucutkan kelayakan Hakim Datuk Augustine Paul daripada mendengar rayuan Menteri Dalam Negeri berhubung pembebasannya daripada tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau memfailkan usul itu mengikut Peraturan 137, Peraturan-peraturan Mahkamah Persekutuan 1995 melalui Tetuan Mathews Hun Kandiah di Pejabat Pendaftar Mahkamah Persekutuan di sini pada 4 petang hari ini.

Pada Selasa, panel dua hakim Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin memutuskan permohonan Raja Petra untuk melucutkan kelayakan Hakim Paul dibuat tanpa sebarang merit.

Peguam Malik Imtiaz Sarwar yang mewakili Raja Petra dalam hujahnya di mahkamah berkata permohonan itu tidak boleh didengar oleh kedua-dua hakim kerana Seksyen 74, Akta Mahkamah-mahkamah mensyaratkan sidang panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan.

Dalam usul baru itu, Raja Petra juga memohon satu lagi panel hakim diwujudkan tidak termasuk Hakim Nik Hashim, Hakim Paul dan Hakim Zulkefli untuk mendengar semakan dan rayuannya yang dijadual didengar pada Isnin supaya ditangguhkan sementara menunggu keputusan usul itu.

Raja Petra, 58, ditahan mengikut ISA pada 12 Sept, 2008 dan kemudiannya dihantar ke kem tahanan Kamunting di Taiping, Perak.

Pada 7 Nov, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Syed Ahmad Helmy Syed Ahmad membenarkan permohonan writ habeas corpus Raja Petra selepas memutuskan penahanannya mengikut Seksyen 8 akta itu tidak termaktub dalam skop seksyen itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain