suria

Pemuda Umno Kubang Kerian buat laporan terhadap Sivakumar

KOTA BHARU:Pemuda Umno Bahagian Kubang Kerian hari ini membuat laporan polis terhadap Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V. Sivakumar atas dakwaan melanggar Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Ketuanya, Anuar Sapian yang diiringi kira-kira 40 penyokong membuat laporan di Balai Polis Kubang Kerian pada 9.30 pagi.

Bercakap kepada pemberita selepas membuat laporan itu, Anuar berkata tindakan Sivakumar menggantung Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco kerajaan negeri daripada menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Perak jelas melanggar undang-undang.

"Sultan Perak, Sultan Azlan Shah telah melantik Menteri Besar iaitu Dr Zambry melalui peruntukan yang sedia ada sebagai ketua kerajaan negeri Perak.

"Tindakan seperti ini menghina Tuanku Sultan Perak dan menghina perlembagaan negara dan Undang-undang Tubuh Negeri Perak sekaligus menghina orang Melayu dan Islam," katanya yang juga setiausaha Pemuda Umno Kelantan.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain