suria

MB Perak enggan ambil tindakan secara melulu

IPOH: Menteri Besar Perak Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berkata beliau dan enam Exco kerajaan negeri tidak mahu mengambil tindakan melulu berhubung tindakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak V.Sivakumar yang menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN.

Beliau juga mengulangi akan menggunakan saluran undang-undang sedia ada bagi menyelesaikan kemelut berkenaan.

"Kita akan mengikut saluran undang-undang yang ada. Kita tidak mahu bertindak (melulu) seperti mereka, jadi kita akan serahkan kepada undang-undang," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Yusuf, Rapat Setia di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas bila beliau dan Exco terlibat akan mengambil tindakan undang-undang terhadap keputusan Sivakumar itu.

Mengenai kenyataan presiden Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan yang mengatakan keputusan penggantungan terhadap beliau dan enam Exco berkenaan tidak boleh dicabar di mahkamah, Zambry menyifatkan ia hanya satu pandangan.

"Banyak dan pelbagai lagi pandangan yang dapat dilihat hari ini, apapun saya tidak mahu diseret dalam persoalan ini kerana yang penting saya meneruskan tanggungjawab sebagai menteri besar yang dilantik dan diperkenan oleh Sultan Perak Sultan Azlan Shah," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zambry kesal dan kecewa terhadap pihak tertentu yang melemparkan pandangan hina dan rendah terhadap institusi mufti dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria.

Beliau berkata rakyat sepatutnya tidak terjerumus dalam polemik sehingga menyebabkan peribadi mufti yang mulia dicemarkan dan institusi mufti tidak dihormati.

Beliau menegaskan bahawa pandangan Harussani sebagai seorang mufti sepatutnya menjadi pandangan yang dihormati oleh semua pihak.

"Saya ingin sebutkan di sini adakalanya kita di peringkat kerajaan negeri Barisan Nasional sendiri ditegur oleh (Datuk Seri) Harussani. Jadi apabila beliau membuat teguran itu tidak bermakna beliau tidak suka dengan sesuatu tetapi beliau menegur dan bercakap mengenai kebenaran berdasarkan hukum-hakam.

"Sebab itu apabila beliau menegur, kita tidak akan melenting, mengkritik dengan keras dan tidak menghormati beliau dan pandangannya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain