suria

Karpal mahu suruhanjaya siasat kes tembak enam lelaki di Kulim

KULIM: Pembangkang akan mengusulkan kepada Parlimen bagi ditubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat kes enam suspek ditembak mati oleh polis di Kampung Kemunting di sini empat hari lepas.

Pengerusi DAP Karpal Singh berkata penubuhan suruhanjaya itu penting bagi membolehkan Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan memberikan penjelasan terperinci mengenai kes kematian itu kepada kaum keluarga enam lelaki berkenaan dan rakyat.

"Ketua Polis Negara (Tan Sri) Musa Hassan perlu beri perhatian khusus kerana enam nyawa terlibat dalam kes ini," katanya kepada pemberita selepas mengiringi balu seorang daripada lelaki yang ditembak mati itu, S.Kumuthamalar, 37, membuat laporan mengenai kematian suaminya R. Elangovan di Balai Polis Kulim di sini hari ini.

Pada kejadian malam Isnin lepas, polis menembak mati enam lelaki yang dipercayai terbabit dengan kegiatan rompakan bersenjata api.

Mereka ialah pekerja kontrak Elangovan, 38, L. S. Santana, 34, kontraktor R. Pannir, 28, pemandu kren S.Vadivelan, 29, tukang kayu S. Gurusamy, 50, dan kalendan lori R. Dilip Kumar, 20.

Ketua Polis Negeri Kedah Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata dua daripada lelaki terbabit adalah antara penjenayah yang dikehendaki polis bagi membantu siasatan beberapa kes jenayah.

Karpal berkata waris lima lagi lelaki yang ditembak itu juga akan membuat laporan polis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain