suria

Karpal buat laporan surat ugutan peluru hidup

GEORGE TOWN: Pengerusi Kebangsaaan DAP, Karpal Singh hari ini membuat laporan polis berhubung sepucuk surat yang mengandungi dua butir peluru hidup, yang dimasukkan ke dalam peti suratnya semalam.

Beliau membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Pulau Pinang dengan diiringi anaknya, Jagdeep Singh Deo.

Ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu, Karpal Singh berkata, peluru bersama sekeping nota itu ditemui dalam satu sampul oleh keraninya pagi semalam.

"Sampul itu ditemui dalam peti surat saya yang beralamat 144A, Jalan Utama, Pulau Pinang oleh kerani saya, Ahad Hassan dan diserah kepada pejabat firma guaman saya di No 17 Green Hall, di sini.

"Sebaik diterima, ia dibuka oleh seorang lagi kerani Nazimah, sampul itu mengandungi dua butir peluru hidup dan sekeping nota bertulisan tangan," katanya.

Karpal Singh menggesa polis mengadakan siasatan teliti kerana pengirimnya mengugut mahu membunuh keluarga.

Ahli politik itu percaya ugutan mempunyai kaitan dengan isu politik di Perak.

Pada 6 Februari lalu, Karpal berkata beliau mahu menyaman Sultan Perak berhubung pelantikan menteri besar baru Perak, Datuk Dr Mohd Zambry Abdul Kadir dari Barisan Nasional.

Bagaimanapun, sehingga ini, Karpal belum berbuat demikian.

Pemimpin BN dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan telah membuat 100 laporan polis terhadap Karpal berhubung isu tersebut.

Karpal pernah menerima ugutan seumpama itu beberapa tahun lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain