suria

Isu lembu: SPRM ada bukti kukuh, MB Selangor enggan ulas

[DIKEMAS KINI] PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati, wujud bukti kukuh yang menunjukkan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim menyalahgunakan kuasanya dalam isu penyelenggaraan kereta dan pembelian lembu korban.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan berkata, pihaknya mendapati terdapat bukti bahawa Khalid telah menyalahgunakan kuasanya dalam penyelenggaraan kereta peribadinya dan pembelian 46 ekor lembu korban bernilai RM110,400 untuk sambutan Aidiladha pada Disember tahun lalu di kawasan Parlimen beliau di Bandar Tun Razak.

Sementara itu, Khalid dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini di Shah Alam enggan mengulas mengenai kenyataan Ahmad Said itu.

Ahmad Said berkata, perkara itu akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan susulan.

"Kita akan cadangkan tindakan undang-undang dan sebagainya diambil memandangkan kita mempunyai bukti yang kukuh terdapat penyalahgunaan kuasa bagi kedua-dua kes tersebut.

"Walaupun kita boleh membuat keputusan untuk membuat dakwaan tetapi suruhanjaya merasakan, adalah lebih baik jika Jabatan Peguam Negara yang membuat keputusan.

"Memandangkan ia melibatkan orang kenamaan, adalah lebih baik jika kes ini diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara kerana mungkin ada pihak-pihak yang tidak berpuas hati dengan penyiasatan yang dijalankan oleh suruhanjaya," katanya selepas majlis pecah tanah pembinaan rumah kakitangan SPRM, di sini.

Sementara itu, Khalid berkata, sebarang kenyataan berhubung siasatan itu pada masa depan akan dilakukan oleh peguamnya, Sankara N. Nair.

"Saya dinasihatkan oleh peguam saya supaya tidak membuat komen mengenai siasatan berkenaan memandangkan SPRM masih melakukan siasatan terhadap saya. Keputusan (untuk tidak mengulas siasatan) kerana menghormati proses siasatan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain