suria

Polis berjaya tumpaskan geng Along Black

KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan geng curi motosikal yang dikenali sebagai Along Black ekoran penahanan sembilan ahli kumpulan itu Sabtu lepas.

Ketua Polis Daerah (IPD) Ampang ACP Abdul Jalil Hassan ketika ditemui pemberita di pejabatnya hari ini berkata polis turut memberkas ketua kumpulan itu bergelar Along Black berumur 18 tahun.

"Pada pukul 12.20 pagi, polis telah memberkas Along Black bersama sebuah motosikal jenis Honda EX5 yang mana telah dilaporkan hilang pada 1 Jan lepas di Ampang.

"Hasil soal siasat yang dijalankan dia telah mengaku mencuri 25 buah motosikal di sekitar Ampang sejak setahun yang lalu bersama empat orang lagi rakannya yang kesemuanya berumur lingkungan 18 hingga 25 tahun," katanya.

Susulan daripada tangkapan itu, pada pukul 1 pagi hari yang sama, sepasukan polis dari Cawangan Pencegahan Jenayah IPD Ampang berjaya memberkas keempatempat suspek itu di sekitar Taman Mulia, Ampang.

Beliau berkata polis turut menemui semula tiga buah motosikal.

Selain itu sembilan rangka motosikal yang dibuang ke dalam sungai Bukit Belacan dekat sini turut ditemui.

"Dua hari selepas itu polis menahan empat lagi ahli kumpulan terbabit di sekitar Banting dan merampas tiga buah motosikal serta dua buah rangka motosikal.

"Dengan penangkapan ahli kumpulan itu polis turut berjaya menyelesaikan sembilan kes kecurian motosikal di sekitar Ampang," kata Abdul Jalil.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain