suria

Pemilihan Presiden MIC 12 April, Samy pertahan jawatan

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Pemilihan jawatan Presiden MIC diadakan 12 April ini dengan Datuk Seri S. Samy Vellu mengulangi pendirian mahu mempertahankan kedudukannya buat penggal ke-10.

Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC hari ini menetapkan tarikh pemilihan presiden parti itu manakala pencalonan pula pada 22 Mac.

Ketika mengumumkan perkara itu, presiden parti Datuk Seri S. Samy Vellu berkata, berikutan penetapan tarikh itu, semua perkara berkaitan pemilihan presiden akan dikendalikan oleh jawatankuasa pemandu pemilihan MIC yang mempunyai lima anggota dan diketuai Datuk K. Vijayanathan.

Menjawab pertanyaan pemberita selepas mesyuarat bulanan CWC itu sama ada beliau akan bertanding pada pemilihan berkenaan, secara bergurau, Samy Vellu berkata "mungkin".

Di samping jawatan presiden, MIC juga akan mengadakan pemilihan bagi jawatan lain di peringkat pusat menjelang akhir tahun ini.

Jawatan yang akan dipertandingkan ialah timbalan presiden, tiga naib presiden dan 23 anggota CWC. Bagaimanapun, tarikh pemilihan belum ditetapkan.

Samy Vellu, yang telah menerajui parti itu sejak 1979 dan merupakan presiden MIC yang paling lama memegang jawatan berkenaan, mengumumkan akhir tahun lepas bahawa beliau akan mempertahankan jawatannya pada pemilihan akan datang.

Bekas Naib Presiden MIC Datuk M. Muthupalaniappan juga menyatakan hasratnya untuk bertanding bagi jawatan itu.

Samy Vellu berkata penggal semasa bagi jawatan presiden MIC akan berakhir pada 26 Feb dan pemilihan bagi mengisinya perlu diadakan tidak lewat dari 25 Mei.

Pada sidang akhbar itu juga, pemimpin MIC itu berkata beliau bersedia membuka semua fail berkaitan pemberian kontrak pembinaan dan penyenggaraan Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST) milik parti itu untuk diteliti oleh media.

"Kami bersedia membuka buku akaun kami. Kami sanggup menyediakan seorang akauntan dan juruaudit bagi menjawab soalan media," katanya.

Akaun serta urusan pembinaan dan pentadbiran AIMST, yang mula beroperasi tahun lepas di Semeling, Kedah, dilanda kontroversi apabila kos pelaksanaan projek itu meningkat daripada RM230 juta kepada RM500 juta.

Samy Vellu telah meminta ketua pegawai eksekutif Maju Institute of Educational Development (MIED) P. Chitrakala Vasu bercuti sepanjang tempoh siasatan terhadap perkara itu dijalankan.

MIED, cawangan pendidikan MIC, adalah pengendali AIMST.

Ditanya sama ada beliau bercadang mengambil tindakan tatatertib terhadap Chitrakala, Samy Vellu berkata beliau tidak akan berbuat demikian, tetapi pegawai itu mungkin berdepan dengan tindakan lebih drastik.

Beliau juga berkata Chitrakala tidak dipecat sebagai CEO MIED. Sementara itu, apabila dihubungi, Muthupalaniappan mengesahkan beliau akan bertanding pada pemilihan berkenaan.

"Saya mengesahkan bahawa saya memang berhasrat untuk bertanding pada pemilihan presiden akan datang dan berharap ia akan diadakan secara adil. Saya yakin jawatankuasa pemandu pemilihan akan bersikap adil dan memandangkan tarikhnya telah diumumkan, saya akan ambil borang pencalonan bagi pemilihan presiden di ibu

"Senarai pemilih juga tentunya sudah siap. Saya harap mereka akan beri kepada saya. Oleh kerana masa semakin suntuk, saya perlu berjumpa dengan pengerusi cawangan bagi mendapatkan tandatangan mereka pada borang pencalonan. Saya harap mereka akan beri borang pencalonan kepada saya dan bersikap adil dalam pertandingan ini," katanya.

Calon yang ingin bertanding jawatan presiden MIC perlu menyandang jawatan pengerusi cawangan dan mendapat 50 pencalonan dengan setiap borang pencalonan perlu mempunyai seorang pencadang dan lima penyokong. Semua pencadang dan penyokong juga mestilah terdiri daripada pengerusi cawangan. Sejumlah 4,300 pengerusi cawangan akan mengundi bagi memilih presiden parti itu.

Apabila dihubungi Bernama, Vijayanathan berkata borang pencalonan sedang dicetak dan akan diedar secepat mungkin.

"Kini, kami ada tempoh masa. Borang pencalonan sedang dicetak dan akan diedarkan oleh ibu pejabat MIC sebaik saja ia siap. Jawatankuasa pemandu pemilihan akan bermesyuarat sedikit masa lagi bagi membereskan semua perkara. Kami juga perlu menunggu hingga semua cawangan selesai mengadakan mesyuarat tahunan sebelum menyediakan senarai pemilih," katanya.

Cawangan MIC di seluruh negara dijangka selesai mengadakan mesyuarat masing-masing akhir bulan ini.

Dalam pada itu, MIC telah menjalin pakatan dengan beberapa buah gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berasaskan kaum India bagi menghadapi pilihan raya kecil serentak di Bukit Selambau, Kedah dan Bukit Gantang, Perak, 7 April ini.

Samy Vellu berkata, mereka telah menubuhkan sebuah pasukan petugas yang terdiri daripada pemimpin akar umbi dan NGO bagi meningkatkan persefahaman dan penyelarasan untuk memikat pengundi kaum India yang menyokong pembangkang pada pilihan raya umum tahun lepas.

Katanya MIC mahu melaksanakan pendekatan baru dengan menjemput NGO menyertai jentera pilihan raya kerana badan tersebut berpengaruh di kalangan masyarakat.

"NGO telah memberi impak pada pilihan raya umum lepas dan kini kami menjalin pakatan dengan banyak NGO bagi menawan hati dan minda pengundi," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa kerja pusat (CWC) di sini hari ini.

Beliau juga berkata, MIC telah mengaktifkan bilik gerakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan kawasan Parlimen Bukit Gantang di mana hari penamaan calon ditetapkan 29 Mac ini.

"Satu pasukan peninjau awal telah dihantar ke kawasan kubu kuat pembangkang di kedua-dua tempat tersebut dan hasil maklum balas mendapati ramai pengundi India ingin kembali kepada Barisan Nasional (BN)," katanya.

Sejak menguasai kerusi DUN BUkit Selambau, Samy Vellu mendakwa pihak pembangkang gagal membawa sebarang pembangunan ke kawasan itu dan kini pengundi di sana mahu perubahan.

Katanya beliau sendiri akan turun padang untuk berkempen di kedua-dua pilihan aya kecil itu dan akan menamakan penyelaras parti bagi keduadua kawasan itu kemudian.

"Kami juga telah menubuhkan sebuah pasukan NGO yang terdiri daripada anggota muda di Bukit Gantang bagi memikat pengundi generasi baru," katanya sambil menegaskan bahawa parti itu akan memberi tumpuan kepada pengundi dari golongan muda.

Bekas Menteri Kerja Raya itu juga berkata MIC tidak akan berbalah dengan mana-mana parti komponen BN mengenai calon pilihan di Bukit Selambau yang secara tradisi ditandingi oleh calon MIC.

"Keutamaan kami adalah memastikan BN merampas semula kedua-dua kerusi itu," katanya sambil menyifatkan usaha itu seperti "mendaki sebuah bukit dan dengan persiapan awal, sudah pasti ada kejayaan."

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain