suria

Pekerja hotel edar heroin dihukum gantung

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja hotel dihukum gantung mandatori oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah terhadap mengedar heroin seberat 10.4 gram dan monoacetylmorphine seberat 20.5 gram lapan tahun lalu.

Hakim Datuk Heliliah Mohd Yusof (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah terhadap Abdul Aziz Adei, 37.

Heliliah dalam penghakimannya berkata, tertuduh dalam keterangan pembelaannya gagal membuktikan dia hanyalah seorang pengantara dalam kes itu.

Katanya pendakwaan berjaya membuktikkan kes itu berdasarkan beberapa perkara antaranya secara fizikal iaitu tertuduh mampu membawa dadah itu dan dia tahu bahawa barang yang dibawanya adalah dadah ketika urusan itu berlaku.

"Dengan ini mahkamah berpendapat adalah tertuduh didapati bersalah dan disabitkan terhadap pertuduhan ini, awak digantung sampai habis nyawa," kata Heliliah.

Beliau turut menjelaskan bahawa kelewatan kes ini bukan disengajakan oleh mahkamah tetapi berlaku kerana pertukaran peguam dan pendakwa raya beberapa kali selain beliau sendiri sering bertukar tempat bertugas.

Abdul Aziz, yang masih bujang, didakwa mengedar dadah itu di bilik No 907, Hotel Plaza, Jalan Raja Laut, pada 4.30 petang 27 Oktober 2001.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Geethan Ram Vincent yang menyebut bagi pihak Ahmad Bachik, manakala Abdul Aziz diwakili peguam bela Hasnal Rezua Merican. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain