suria

Mahkamah batal waran tangkap ADUN Changkat Jering

IPOH: Mahkamah Sesyen di sini hari ini membatalkan perintah waran tangkap terhadap bekas Exco Kerajaan Perak yang gagal menghadiri perbicaraan minggu lepas berhubung tuduhan rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Hakim Azhanis Teh Azman Teh membuat keputusan itu apabila Kapt (B) Mohd Osman Mohd Jailu melalui peguamnya Abdul Roni Rahman menyerahkan sijil cuti sakit bagi tempoh 9 hingga 12 Februari yang dikeluarkan pegawai perubatan, Unit Rawatan Rapi Koronari, Hospital Selayang.

Mohd Osman yang bersut lengkap hadir ke mahkamah pada pukul 8.45 pagi ditemani seorang lagi bekas Exco Jamaluddin Mohd Radzi yang merupakan seorang daripada lima tertuduh kes rasuah berkenaan.

Pada 10 Feb lepas, Majistret Sharmila Abdul Samad mengeluarkan perintah waran tangkap terhadap Mohd Osman kerana gagal mengemukakan sijil cuti sakit dari hospital dan menetapkan 13 April bagi sebutan semula kes waran tangkap itu.

Perintah waran tangkap itu dikeluarkan apabila adik Mohd Osman, Noriza Jailu sebagai penjamin beliau, memaklumkan mahkamah bahawa tertuduh tidak dapat hadir kerana telah dimasukkan ke hospital di Kuala Lumpur kerana masalah jantung. Bagaimanapun, Noriza berkata Mohd Osman tidak dapat menyediakan sijil cuti sakit kerana doktor masih membuat pemerhatian ke atas abangnya.

Perbicaraan kes rasuah terbabit kemudiannya ditangguhkan ke 15 dan 16 Jun depan. Mohd Osman, Jamaluddin, Usaili Alias dan dua orang lagi iaitu, juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) Ruslan Sahat dan bekas anggota Majlis Daerah Perak Tengah, Zul Hassan menghadapi 16 pertuduhan menerima dan meminta rasuah berkaitan projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dekat sini.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak dan di Restoran Kluang Station Cafe di Medan Istana, Bandar Ipoh Raya di sini, dan di Aquarias Restaurant & Bar, Tingkat 4, Summit Hotel, Bukit Mertajam, Pulau Pinang antara 14 hingga 19 Ogos tahun lepas.

Zul juga didakwa menerima rasuah seorang perempuan bagi tujuan mengadakan hubungan seks pada pukul 8.10 malam 14 Ogos lepas di Sri Sayang Apartment di Pulau Pinang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain