suria

Khir cadang Pakatan lucut jawatan Ketua Pembangkang

SHAH ALAM: Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo hari ini mencadangkan kerajaan negeri supaya melucutkan jawatan beliau sebagai Ketua Pembangkang di negeri itu jika merasakan beliau merupakan satu ancaman.

Dr Khir berkata, selagi beliau memegang jawatan Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN), beliau akan memikul tugas itu dengan baik dalam usaha memperbaiki sistem pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Pakatan Rakyat.

"Kalau mereka rasakan saya memberi ancaman, saya cadangkan mereka arahkan saya letak jawatan atau melucutkan jawatan Ketua Pembangkang dan diberikan kepada orang lain.

"Selagi saya diberi amanah ini, saya akan memikul tugas ini dengan sebaik-baiknya," katanya dalam sidang media di bangunan Umno di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim semalam yang memfailkan dua saman fitnah terhadap Dr Khir berhubung kenyataannya mengenai Khalid pada bulan lepas berhubung isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Dr Khir berkata, tindakan saman itu adalah usaha untuk menghalang beliau daripada mendedahkan kepincangan dalam pentadbiran kerajaan negeri.

"Nampaknya ini percubaan kerajaan negeri untuk menutup mulut saya supaya saya tidak bercakap perkara yang tidak betul dalam pentadbiran harian.

"Saya dan Barisan Nasional akan terus mendedahkan dan bercakap tentang kepincangan yang berlaku," katanya.

Bagaimanapun, Dr Khir berkata, beliau bimbang Khalid akan mendapatkan injuksi mahkamah bagi menghalang beliau bercakap mengenai pentadbiran kerajaan negeri.

"Ini yang saya bimbang dan saya rasa ini akan dilakukan oleh kerajaan negeri untuk menutup mulut saya daripada bercakap perkara dan salah laku kerajaan negeri pada hari ini," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain