Gambar bogel Elizabeth: Bukit Aman bantu polis KL - Semasa | mStar

Gambar bogel Elizabeth: Bukit Aman bantu polis KL

PUTRAJAYA: Polis Kuala Lumpur yang mengambil alih daripada polis Selangor siasatan mengenai penyebaran gambar bogel anggota Exco kerajaan Selangor, Elizabeth Wong, berkuat kuasa hari ini, akan dibantu oleh Bukit Aman.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Wira Mohd Sabtu Osman berkata, pengambilalihan kes itu tidak akan menjejaskan proses siasatan kerana perubahan hanya melibatkan pegawai penyiasat.

"Kita akan sambung dari siasatan yang dijalankan oleh polis Selangor," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pondok Polis Komuniti Presint 9 di sini hari ini.

Ketika ditanya mengenai bekas teman lelaki Wong yang dikehendaki memberi keterangan kepada polis, Mohd Sabtu berkata usaha mengesannya sedang dijalankan.

"Mana-mana saksi terlibat akan dicari," katanya.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan mengaibkan kehormatan seseorang, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau keduaduanya.

Wong, 37, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan, telah membuat laporan polis setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet baru-baru ini.

Kelmarin beliau mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan Exco dan ADUN Bukit Lanjan dan telah pun diambil keterangan polis.

Hasrat itu sedang dipertimbangkan oleh Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Khalid akan menemui Sultan Selangor untuk mendapatkan pandangan berhubung itu Rabu ini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain