suria

Waran tangkap terhadap Ronnie Liu tidak sah :Peguam

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa waran tangkap yang dikeluarkan terhadap anggota exco kerajaan Selangor, Ronnie Liu Tian Khiew, pada 12 November tahun lepas tidak sah di sisi undang-undang.

Peguam Gobind Singh Deo berkata tiada pengesahan dibuat oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya bagi waran tangkap itu agar Liu dibawa ke balai polis Puchong pada tarikh berkenaan.

"Apa yang dilakukan pihak polis (membawa Liu ke Balai Polis Puchong) ialah bertentangan dengan peruntukan undangundang. Pemohon (Liu) tidak dibawa ke mahkamah seperti yang dikehendaki oleh waran itu," katanya mewakili Liu yang memfailkan notis usul agar mahkamah menyemak semula dan mengetepikan waran tangkap yang dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada 12 November tahun lepas.

Dalam afidavit sokongannya, Liu berkata bahawa pada 1.55 tengah hari 12 Nov ketika beliau berada di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAs), sekumpulan pegawai polis datang menangkapnya berdasarkan satu waran tangkap bertarikh 12 November 2008 yang dikeluarkan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya.

Selepas itu, beliau dibawa ke Balai Polis Puchong sebelum dilepaskan dengan jaminan lisan RM2,000 selain diminta hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 9 pagi 17 November 2008 untuk didakwa berhubung satu perkara yang dikatakan berlaku pada November 2007.

Timbalan Pendakwa Raya Noorin Badaruddin dalam hujahannya pula berkata bahawa pada 17 Nov tahun lepas, Liu dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas tuduhan bersubahat dan sengaja menghalang tugas seorang penolong penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) untuk menutup Hotel Chile, dua tahun lepas.

Liu mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

"Kami akui bahawa ia (waran tangkap) tidak disahkan dan dimeterai oleh Mahkamah Majistret, cuma ada cop sahaja. Namun begitu atas fakta pemohon telah dituduh di mahkamah, jadi tidak ada apaapa lagi perlu dipertimbangkan oleh mahkamah ini.

Noorin berkata mahkamah tidak perlu mengambil kira bagaimana tertuduh dibawa ke mahkamah kerana ia dibuat secara sah.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa yang mendengar permohonan itu kemudian berkata permohonan yang dibuat oleh Liu bukanlah untuk mempertikaikan bidang kuasa Mahkamah Majistret berkenaan tetapi apa yang menjadi isu ialah sama ada waran tangkap terhadap Liu dibuat mengikut peruntukan undangundang atau sebaliknya.

"Pemohon juga membangkitkan isu sama ada wajar atau tidak polis mengatasi peruntukan itu. Isu ini penting dan mahkamah perlu berhatihati dalam membuat keputusan.

Justeru, untuk bantu mahkamah buat keputusan, adalah wajar TPR (Timbalan Pendakwa Raya) kemukakan hujahan bertulis," katanya.

Mohd Yazid kemudian menetapkan 4 Mac ini bagi membolehkan pihak responden mengemukakan hujahan bertulis dan juga menetapkan 23 Mac untuk mendengar hujahan daripada keduadua pihak.

Liu didakwa melakukan kesalahan itu berdasarkan peruntukan Undangundang Kecil Hotel (Majlis Perbandaran Subang Jaya) 2007, Akta Kerajaan Tempatan 1976, di Jalan Kenari 6, Bandar Puchong Jaya, Petaling Jaya, antara 5.30 petang dan 6.30 petang 2 Nov 2007.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 186 kanun yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau keduadua sekali, jika sabit kesalahan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain