suria

Wanita Indonesia dipenjara sebabkan kematian anak baru lahir

KUALA LUMPUR: Seorang pembantu rumah warga negara Indonesia dipenjara lima tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah dia mengaku bersalah terhadap tuduhan pilihan menyebabkan kematian anaknya yang baru lahir dua tahun lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Azman Abdul Aziz memerintahkan Unah Suma, 28, berasal dari Jawa Barat, menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Jun 2007.

Unah, yang sebelum itu menghadapi pertuduhan membunuh, telah menukar pengakuannya setelah pihak pendakwaan pagi ini menawarkan tuduhan pilihan mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di rumah majikannya di Jalan Sibu 4, Taman Wahyu, Jinjang, antara 1 pagi dan 2.30 pagi 7 Jun 2007.

Zainal Azman berkata walaupun Unah mendakwa dia hanya menutup mulut bayi itu daripada menangis supaya tidak didengar oleh majikannya tetapi laporan bedah siasat menunjukkan budak itu mengalami kecederaan di bahagian leher dan kepala, selain di bahagian mulut. "Saya tidak dapat menerima bahawa kamu hilang pertimbangan ataupun menghadapi tekanan pada pagi itu. Saya amat sedih sebagai seorang hakim dan bapa dengan tindakan kamu, di mana kamu tidak sepatutnya melepaskan geram terhadap bayi itu yang merupakan darah daging kamu sendiri," kata hakim.

Mengikut fakta kes, rakan Unah yang dikenali sebagai Nani telah bangun pada 1 pagi setelah mendengar tangisan bayi dan seterusnya nampak rakan sebiliknya sedang memegang bayi dengan satu tangannya menutup mulut bayi tersebut.

Beberapa minit kemudian apabila Nani kembali membawa air ke bilik itu untuk membantu Unah, Unah memberitahunya bayinya sudahpun meninggal dunia dan mahu membuang bayi itu kerana tidak mempunyai wang untuk menguruskan pengebumiannya.

Pada 7 pagi, Unah telah memasukkan mayat bayi itu ke dalam satu plastik hitam dan dibuangnya ke dalam tong sampah di hadapan rumah majikannya.

Unah ditahan pada hari yang sama setelah majikannya membuat laporan polis.

Peguambela Raftfizi Zainal Abidin dalam rayuannya berkata walaupun laporan perubatan dari Hospital Bahagia Ulu Kinta menunjukkan tertuduh tidak mengalami masalah mental yang serius, tetapi dia mengalami tekanan daripada kejadian rogol menyebabkan fikiran dan emosinya terganggu, mengakibatkannya hilang pertimbangan semasa kejadian.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Asma Ahmad berhujah walaupun pihak pendakwaan simpati dengan kejadian rogol yang dialami oleh Unah tetapi apa jua alasan yang diberi dalam membunuh bayi sendiri tidak boleh diterima. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain