suria

Polis tumpas sindiket pertaruhan dan peminjam haram

SINGAPURA: Polis Singapura menahan 16 orang termasuk enam wanita disyaki terlibat dalam kegiatan pertaruhan bola sepak dan sindiket peminjaman wang haram dalam operasi di seluruh negara pulau ini yang berakhir semalam.

Polis berkata operasi itu turut menyaksikan rampasan jumlah wang terbesar iaitu S$0.73 juta dollar dalam beberapa tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, polis berkata penangkapan suspek itu yang berumur antara 29 hingga 45 tahun adalah hasil siastan perisikan yang intensif.

Katanya, pegawaipegawai dari Jabatan Perisikan Polis dan Jabatan Siasatan Jenayah melakukan serbuan serentak di beberapa lokasi termasuk Woodlands, Pasir Ris, Kim Seng, Bedok, Sims Ave dan Tanglin Halt.

Barang-barang yang dirampas termasuk telefon bimbit, komputer riba, slip pertaruhan, rekod penerima pinjaman, buku bank, cek dan peranti simpanan seperti hard disk drive dan memory card.

Siasatan awal menunjukkan bahawa anggota sindiket itu menjalankan kegiatan pertaruhan bola sepak haram menerusi internet dan sesetengah mereka juga terlibat dalam kegiatan peminjaman wang haram.

Seseorang yang didapati bersalah bertindak sebagai pengendali pertaruhan haram di Republik ini boleh didenda hingga maksimum S$200,000 dan penjara hingga lima tahun, dan kerana menjalankan perniagaan sebagai peminjam wang tidak berlesen boleh didenda hingga S$200,000 atau penjara hingga dua tahun atau keduaduanya sekali.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain