suria

Kaedah 'tangkap muat' pilih calon punca masalah PKR

Empat orang ADUN Parti Keadilan Rakyat yang terlibat dengan salah laku peribadi, Dari kiri, ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi,bekas ADUN Bukit Selambau,V.Arumugam dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu.
Empat orang ADUN Parti Keadilan Rakyat yang terlibat dengan salah laku peribadi, Dari kiri, ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi,bekas ADUN Bukit Selambau,V.Arumugam  dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu.
Empat orang ADUN Parti Keadilan Rakyat yang terlibat dengan salah laku peribadi, Dari kiri, ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong, ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi,bekas ADUN Bukit Selambau,V.Arumugam dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu.

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat khususnya Parti Keadilan Rakyat (PKR) masih belum matang dalam memilih calon yang benar-benar layak menjadi wakil mereka dalam pilihan raya.

Pensyarah Sains Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti sains Malaysia (USM), Dr Azeem Fazwan Ahmad Faruk berkata, Pakatan sebagai sebuah perikatan gabungan parti PKR, DAP dan PAS mempunyai masalah dalam menyelesaikan kemelut yang melanda wakil rakyat mereka.

"Apa yang berlaku ini juga berpunca daripada kelemahan dalam struktur parti yang mana Pakatan yang masih baru ini masih belum ada persefahaman yang mendalam antara parti.

"Gabungan mereka masih longgar dan mereka baru sahaja melalui beberapa persefahaman termasuk satu lawan satu, agihan kerusi dan disiplin parti mereka juga tidak kuat jika dibandingkan dengan BN," katanya.

BN katanya mempunyai mekanisme yang telah ditetapkan dan menekankan disiplin yang kuat dalam pemilihan calon untuk menjadi wakil rakyat.

Selain itu, Dr Azeem berkata, pemilihan seseorang wakil rakyat itu juga seharusnya tidak hanya perlu menekankan kepada rekod kerja tetapi juga kehidupan peribadi beliau.

"Ada banyak faktor yang menyumbang kepada masalah ini dan ia sebenarnya bermula dengan masalah peribadi.

"Dalam kes ADUN Bukit Lanjan, kita lihat ia berpunca daripada kehidupan peribadi beliau sendiri," katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas isu peletakan jawatan beberapa wakil rakyat daripada Pakatan termasuk yang terbaru, ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang menawarkan diri untuk meletakkan jawatan berikutan tersebarnya gambar dan video separuh bogel beliau.

Dr Azeem berkata, hal yang sama turut berlaku kepada dua ADUN di Perak iaitu ADUN Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan ADUN Changkat Jering, Mohd Osman Mohd Jailu yang kini sedang menghadapi tuduhan menerima rasuah bagi mendapatkan satu projek bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

"Mereka terlibat dengan tuduhan rasuah dan itu juga merupakan peribadi mereka," katanya.

Jamaluddin dan Mohd Osman adalah bekas wakil rakyat PKR dan kini telah keluar daripada parti dan menjadi ADUN Bebas tetapi menyokong Barisan Nasional (BN).

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Ghazali Mahyudin berkata, pemilihan calon yang 'tangkap muat' menyumbang kepada masalah disiplin yang berlaku dalam Pakatan.

"Mereka sebelum ini mengamalkan 'janji ada calon' kerana matlamat mereka adalah untuk menang dalam pilihan raya umum.

"Bagaimanapun saya percaya, pada pilihan raya yang akan datang, mereka akan mengambil iktibar melalui apa yang berlaku dan akan memilih calon yang benar-benar layak untuk mewakili parti mereka," katanya.

Dr Ghazali juga tidak bersetuju dengan tindakan Pakatan yang mendakwa BN adalah dalang kepada masalah yang sedang dihadapi mereka.

"Kita tidak boleh buat tuduhan tanpa bukti. Kalau betul, buktikan. "Kalau buat tuduhan tanpa bukti begini, kita akan membiarkan rakyat tertanya-tanya," katanya.

Pakatan Rakyat sebelum ini menuduh BN menjadi dalang dalam usaha menjatuhkan imej dan prestasi wakil rakyat mereka.

Sementara itu, Pensyarah Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Ahmad Nizammuddin Sulaiman berkata, isu moral sememangnya sesuatu yang amat penting dalam memilih seseorang pemimpin.

"Bila masalah peribadi seperti ini terdedah, ia akan menjadi tumpuan umum dan akhirnya dipolitikkan.

"Pada saya, perlu ada satu badan untuk menilai rekod seseorang calon itu. Ia bukan hanya perlu bersandarkan rekod yang baik tetapi juga peribadi beliau.

"Mungkin perlu ada siasatan daripada pihak polis, kastam atau mahkamah bagi memastikan rekod seseorang yang mahu dipilih menjadi pemimpin itu benar-benar bersih," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain