suria

SPR sedia adakan pilihan raya di 3 kerusi "Bukit"

PETALING JAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedia mengadakan pilihan raya kecil serentak di kerusi bernama "Bukit" - termasuk Bukit Lanjan di Selangor jika ada kekosongan.

Sambil tidak menolak kemungkinan itu, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof berkata, pihaknya boleh mempertimbangkan pilihan raya kecil di ketiga-tiga kerusi Bukit Lanjan, Bukit Selambau dan Bukit Gantang serentak awal April ini.

"Kemungkinan itu ada jika wujud kekosongan... tetapi sehingga kini belum ada kekosongan (secara rasmi)," kata beliau kepada mStar Online ketika dihubungi di Johor Bahru sebentar tadi.

Pagi tadi, Exco Kerajaan Negeri Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong menyatakan hasrat untuk meletakkan kedua-dua jawatan.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada Menteri Besar Selangor dan kepimpinan PKR untuk menerima ataupun sebaliknya.

Jumaat lalu, SPR telah memutuskan pilihan raya kecil serentak bagi kerusi Bukit Gantang, Perak dan Bukit Selambau, Kedah pada 7 April ini.

Penamaan calon diadakan pada 29 Mac.

Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar juga mengatakan bahawa adalah terlalu awal untuk menyentuh soal pilihan raya kecil bagi kawasan Bukit Lanjan.

Ini kerana katanya, isu itu masih di peringkat antara Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan berkenaan dengan partinya.

"Hanya apabila Speaker memaklumkan tentang kekosongan menerusi notis, maka baru ia akan menjadi urusan SPR.

"Urusan SPR bermula apabila menerima surat daripada Speaker... buat masa ini masih di peringkat isu antara ADUN dan parti yang diwakilinya (Parti Keadilan Rakyat)," kata beliau.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain