suria

Pemuda BN lancar kempen sokong institusi raja

KUALA LUMPUR: Pemuda Barisan Nasional (BN) akan melancarkan kempen mengumpul tandatangan Khamis ini bagi membolehkan rakyat menyatakan sokongan padu mereka terhadap institusi raja di negara ini.

Setiausaha Pemuda BN, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, kempen itu akan dilancarkan pada perhimpunan "Menjunjung Setia Daulat Tuanku" di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada pukul 8 malam.

Perhimpunan itu dijangka dihadiri oleh kira-kira 5,000 orang termasuk anggota serta pemimpin pemuda parti komponen BN, katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan itu, yang terbuka kepada orang ramai, adalah untuk menyatakan bahawa rakyat sebenarnya menyayangi dan mempertahankan institusi raja.

Abdul Rahman berkata, selepas pelancaran itu, kempen tandatangan itu akan diperluaskan ke seluruh negara bagi memberi ruang kepada rakyat menyatakan sokongan mereka.

"Kesemua tandatangan yang dikumpul akan diserahkan kepada Majlis Raja-Raja pada satu tarikh yang akan ditetapkan nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain