suria

Masidi Manjun tarik diri tanding kerusi MT

KOTA KINABALU: Ketua Umno Bahagian Ranau, Datuk Masidi Manjun hari ini memutuskan menarik diri daripada bertanding jawatan anggota Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan Umno yang dijadualkan dari 24 hingga 28 Mac ini.

Dalam satu kenyataan di sini, Masidi yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah berkata, beliau membuat keputusan sedemikian untuk menumpukan perhatian kepada tugas sebagai menteri kabinet negeri, anggota Dewan Undangan Negeri kawsan Karanaan dan ketua Umno bahagian.

"Tugas rasmi saya adalah satu tanggungjawab yang berat memandangkan pelancongan adalah satu daripada serampang tiga mata fokus pembangunan ekonomi Sabah di bawah Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan hala tuju negeri Sabah.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua bahagian Umno yang telah mencalonkan saya.

"Saya akan terus bekerja keras untuk memperkuatkan Umno dan BN agar kita dapat mengembalikan kekuatan dan kecemerlangan parti pemerintah," katanya.

Dalam masa yang sama, Masidi berharap semua ketua bahagian Umno dan para perwakilan Umno Sabah ke perhimpunan agung parti kelak memberikan sokongan padu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman untuk mengekalkan kedudukannya dalam barisan teratas anggota MT Umno yang akan datang.

"Musa sebagai pengerusi badan perhubungan Umno negeri Sabah, adalah wakil Umno Sabah yang mampu membawa hasrat dan aspirasi rakyat Sabah dalam mesyuaratmesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Umno," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain