suria

Latiff: Gapena bantah dasar PPSMI sejak 2002

KUALA LUMPUR: Gabungan Persatuan Penulis Nasional (Gapena) membantah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sejak ia dilaksanakan enam tahun lepas, kata Ketua II Gapena, Prof Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar.

Beliau berkata, gabungan itu tetap dengan pendirian menentang PPSMI dan pelbagai bantahan dibuat setiap tahun melalui seminar dan mesyuarat sejak pelaksanaan dasar itu pada tahun 2002.

"Kami masih tetap dengan pendirian kami dan laporan polis itu adalah sebahagian daripada proses untuk mengembalikan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Melayu," katanya kepada pemberita semasa mengulas kenyataan Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mempertikaikan tindakan Gapena membuat laporan polis mengenai PPSMI hanya setelah enam tahun dasar itu diperkenalkan.

Abdul Latiff berharap Hishammuddin dapat mengadakan pertemuan dengan GAPENA bagi membolehkan kedua-dua belah pihak berunding bagi menyelesaikan kemelut itu.

"Kami juga bercadang akan menghantar memorandum mengenai isu itu kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dalam masa terdekat," katanya.

Sementara itu, Gerakan Memansuh Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (GMP) akan menyerahkan memorandum mengenai PPSMI kepada Ahli Parlimen di bangunan Parlimen esok.

Setiausahanya Hasni Abas dalam satu kenyataan berkata, memorandum itu yang akan diserahkan Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad dan Sasterawan Negara A. Samad Said antara lain meminta anggota Parlimen menimbulkan serta membahaskan isu PPSMI sepanjang persidangan Dewan Rakyat sekarang. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain