suria

Gambar bogel: Polis ambil keterangan Elizabeth

DITENANGKAN... Elizabeth Wong yang juga ADUN Bukit Lanjan, Selangor ditenangkan oleh rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas sidang media berhubung penyebaran gambar bogel beliau di Ibu Pejabat PKR hari ini. Berikutan itu beliau menwarkan diri untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut dan akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengatur urusan penyerahan tanggungjawab mengikut cara sepatutnya. Keputusan itu dibuat berikutan kontroversi penyebaran gambar bogel beliau yang tersebar di internet dan khidmat pesanan multimedia. - fotoBERNAMA
DITENANGKAN... Elizabeth Wong yang juga ADUN Bukit Lanjan, Selangor ditenangkan oleh rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas sidang media berhubung penyebaran gambar bogel beliau di Ibu Pejabat PKR hari ini. Berikutan itu beliau menwarkan diri untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut dan akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengatur urusan penyerahan tanggungjawab mengikut cara sepatutnya. Keputusan itu dibuat berikutan kontroversi penyebaran gambar bogel beliau yang tersebar di internet dan khidmat pesanan multimedia. - fotoBERNAMA
DITENANGKAN... Elizabeth Wong yang juga ADUN Bukit Lanjan, Selangor ditenangkan oleh rakan-rakan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) selepas sidang media berhubung penyebaran gambar bogel beliau di Ibu Pejabat PKR hari ini. Berikutan itu beliau menwarkan diri untuk melepaskan kedua-dua jawatan tersebut dan akan berbincang dengan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi mengatur urusan penyerahan tanggungjawab mengikut cara sepatutnya. Keputusan itu dibuat berikutan kontroversi penyebaran gambar bogel beliau yang tersebar di internet dan khidmat pesanan multimedia. - fotoBERNAMA

[DIKEMAS KINI, 7 PETANG] PETALING JAYA: Elizabeth Wong, yang telah memutuskan untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel sejak beberapa hari lalu, diambil keterangan oleh polis sebentar tadi.

Beliau memberikan kenyataan di pejabat peguamnya di sini kira-kira pukul 5.30 petang tadi.

Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar mengesahkan yang pihaknya telah mendapatkan keterangan daripada wakil rakyat berkenaan.

Wong telah membuat laporan di Balai Polis Damansara Ahad lalu.

Beliau menemui polis kira-kira enam jam selepas muncul pada sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi tadi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim telah "menolak" hasrat Wong untuk meletakkan jawatan.

Sebaliknya mereka meminta beliau memikirkan semula sambil mengambil cuti selama satu tempoh yang belum ditetapkan.

BERITA TERDAHULU

Elizabeth mahu undur MB, Anwar nasihat cuti

[DIKEMAS KINI, 4.20 PETANG] PETALING JAYA: Elizabeth Wong, yang memutuskan hasrat untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan ekoran tersebarnya gambar separuh berbogel, telah dinasihatkan agar bercuti buat sementara waktu.

Menteri Besar Selangor berkata, beliau telah menasihatkan Wong agar bercuti dan mengambil rehat yang sewajarnya.

Bagaimanapun beliau tidak menyatakan berapa lama Wong dinasihatkan supaya bercuti.

Nasihat yang sama turut diberikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di lobi Parlimen, yang turut meminta Wong supaya mengkaji semula pendiriannya mahu meletakkan jawatan.

Semalam Wong berkata beliau telah menjadi "mangsa kejadian" penyebaran foto atau video separuh bogelnya, yang dipercayai disebarkan oleh bekas kekasihnya.

Media melaporkan bahawa bekas kekasihnya kini berada di luar negara.

Malam tadi kepimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah mengadakan dua mesyuarat - peringkat negeri dan peringkat kebangsaan - dari 8.30 malam tadi sehingga awal pagi ini bagi membincangkan isu Wong.

mStar Online difahamkan antara opsyen yang ditimbangkan dalam kedua-dua pertemuan itu ialah meminta Wong berundur daripada kedua-dua jawatan berkenaan.

Selangor PAS dijadual turut mengadakan mesyuarat petang ini membincangkan isu berkenaan.

Malah, Khalid yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor berkata, beliau akan menghadap Sultan Selangor untuk memperjelaskan isu berkeaan dan mendapatkan pandangan baginda.

"Saya telah menerima surat daripada YB Elizabeth Wong yang mengatakan hasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Exco Selangor dan ADUN Bukti Lanjan.

"Perkembangan ini adalah sesuatu yang malang memandangkan YB Elizabeth Wong merupakan anggota Exco contoh," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan sejam yang lalu.

Bagaimanapun Khalid tidak menyatakan tarikh beliau akan menghadap Sultan Selangor.

Pagi esok, kerajaan negerinya akan mengadakan mesyuarat mingguan Exco.

SPR sedia adakan pilihan raya di 3 kerusi "Bukit" Elizabeth Wong digesa tarik balik keputusan letak jawatan

Pada sidang media pagi tadi, Wong menawarkan diri untuk meletak jawatan dan juga mengosongkan kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan setelah gambar bogelnya tersiar dalam Internet.

Dengan nada sebak dan ada ketikanya menitiskan air mata, Wong menegaskan, beliau akan membincangkan soal penyerahan tugasnya itu dengan Menteri Besar.

Beliau tidak melayan soalan wartawan selepas membacakan kenyataannya.

Wong, 37, yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor berkata, terdapat pihak tertentu yang mahu mencemarkan nama baiknya.

Beliau yang datang ke sidang media dengan kelihatan "ceria" menitiskan air mata ketika membacakan kenyataan satu halaman.

Ketua Penerangan Wanita PKR itu, anak kelahiran Ipoh, Perak berkata, beliau tidak melanggar sebarang undang-undang.

"Saya tak merasa malu hanya kerana saya tidak berkahwin," kata beliau sambil menambah bahawa akan kekal sebagai ahli PKR.

Wong berkata, tawarannya untuk meletak jawatan adalah untuk kebaikan parti.

"Walaupun kempen memburukkan nama saya ini ditujukan kepada saya, tapi saya sedar matlamatnya adalah untuk memburukkan Parti Keadilan Rakyat," katanya.

Wong telah membuat laporan di Balai Polis Damansara Ahad lalu.

Turut hadir pada sidang media pagi tadi ialah Naib Presiden PKR, R. Sivarasa; Setiausaha Publisiti DAP, Teresa Kok yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor; Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin, seorang lagi Exco Kerajaan Negeri Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Irene Fernandez.

Kesemua mereka yang turut memberikan pandangan mengutuk penyebaran foto dan video sedemikian.

Malah mereka menyalahkan musuh politik khususnya Umno dan Barisan Nasional (BN) sebagai belakang dalam usaha kotor sedemikian.

Beberapa penyokong Wong juga hadir untuk menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil membawa poster dan sepanduk.

Malah, ketika Wong ketika memberikan sidang media, mereka menggesa dengan kata-kata "jangan letak jawatan" berulang kali.

Pada satu ketika Sivarasa meminta bertenang bagi membolehkan Wong habis membacakan kenyataannya.

Sivarasa berkata, PKR bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil di Perak, Kedah dan di Selangor jika ada, walaupun berhadapan dengan kes Wong.

BERITA TERDAHULU

PKR bincang keputusan Elizabeth letak jawatan

[DIKEMAS KINI, 2 PETANG] PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengadakan mesyuarat dalam waktu terdekat untuk membincangkan pendirian Elizabeth Wong yang memutuskan untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dan ADUN Bukit Lanjan.

"Beliau hanya menawarkan untuk melepaskan kedua-dua jawatan, bukan meletakkan jawatan.

"Beliau baru sahaja membuat pengumuman dan beliau juga sudah memaklumkan kepada kami malam tadi, kami sudah mendapat penjelasan penuh mengenai isu ini dan kami akan membuat keputusan dalam waktu terdekat," kata Naib Presiden PKR, Azmin Ali ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi.

Terdahulu pada pukul 11.40 pagi tadi, selepas dua dua hari didedahkan penyebaran gambar dan video separuh bogel, Wong mengumumkan keputusannya untuk meletakkan jawatan Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Bukit Lanjan.

Keputusan itu dijangka membuka laluan kepada pilihan raya kecil ketiga tahun ini selepas Bukit Gantang di Perak dan Bukit Selambau di Kedah.

Wong mengumumkan pendiriannya itu pada sidang media pukul 11.40 pagi tadi di Ibu Pejabat PKR di sini.

"Saya menerima sokongan padu daripada keluarga, pemilih kawasan saya, rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat, sahabat dan masyarakat umum.

"Bagaimanapun, demi kepentingan parti, saya telah memutuskan untuk menawarkan peletakan jawatan sebagai Exco Kerajaan Negeri Selangor dan juga ADUN Bukit Lanjan," katanya dengan nada sebak manakala penyokong-penyokongnya pula mendesak beliau menarik balik keputusannya.

"Saya akan berbincang dengan Menteri Besar (Tan Sri Khalid Ibrahim) untuk mengaturkan penyerahaan tanggungjawab saya dengan baik.

"Saya akan terus berkhidmat untuk rakyat dan berjuang untuk keadilan di Malaysia," kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor.

Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor dijadual membuat kenyataan rasmi mengenainya dalam beberapa jam lagi.

Wong, berusia 37 tahun dan masih bujang, yang memasuki dewan utama Ibu Pejabat PKR dengan ceria kelihatan sebak ketika membacakan kenyataannya.

Beberapa penyokong beliau membawa sepanduk dan poster menyatakan sokongan moral kepada beliau sambil berulang kali menggesa Wong tidak meletakkan jawatan.

Naib Presiden PKR, R. Sivarasa pula berkata, pihaknya menerima keputusan Wong dengan berat hati tetapi bersedia untuk menghadapi pilihan raya kecil jika diadakan.

"Kami bersedia menghadapi pilihan raya kecil di Perak, di Kedah dan juga di sini di Selangor," kata beliau yang turut hadir pada sedia media itu.

Bagaimanapun Wong yang hanya membacakaan kenyataan satu halaman tidak mengambil sebarang soalan daripada wartawan.

BERITA TERDAHULU

Gambar separuh bogel: Elizabeth letak jawatan?

Terdahulu, pemimpin-pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengadakan dua pertemuan penting - peringkat negeri dan pusat malam tadi - bagi membincangkan nasib Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang menjadi mangsa skandal pengedaran gambar bogel.

Satu mesyuarat diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Shah Alam, dihadiri wakil-wakil rakyat negeri itu manakala pertemuan susulan dipengerusikan oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara.

Kenyataan berupa "memikul tanggungjawab" akan dikeluarkan oleh PKR hari ini.

Difahamkan Wong juga hadir dalam pertemuan dengan Anwar dan menjelaskan isu berkenaan.

SMS yang diterima awal pagi ini memaklumkan Wong akan mengadakan sidang media khas di Ibu Pejabat PKR pukul 11 pagi ini.

Susulan kedua-dua pertemuan tersebut, mStar Online difahamkan Wong, yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor diberikan opsyen untuk dipertimbangkan termasuk melepaskan kedudukannya itu.

"Mesyuarat mengambil kira bahawa isu tersebut merupakan soal peribadi beliau, tetapi kini ia menjadi isu umum.

"Oleh itu, dan memandangkan beliau mengakui gambar-gambar itu adalah diri beliau, maka pemimpin PKR merasakan beliau wajar mengambil tanggungjawab dari sudut moral.

"Justeru, kepimpinan PKR dijangka akan mengeluarkan kenyataan 'bertanggungjawab' esok (hari ini)," kata sumber itu kepada mStar Online tengah malam tadi.

Pertemuan kedua dipercayai berlarutan hingga awal pagi ini.

Dalam kenyataan satu muka dikeluarkan petang semalam, Wong berkata: "Saya mangsa dalam kejadian ini."

Wakil rakyat penggal pertama itu berkata, di sebalik 'krisis ini' beliau akan terus berkhidmat untuk rakyat negeri Selangor.

Kata Wong, penyebaran dan penerbitan foto atau video yang dimaksudkan itu merupakan "serangan dengki" ke atas personaliti beliau.

Jika melepaskan jawatan beliau tidak boleh bertanding lagi selama lima tahun.

Walaupun menerima tekanan daripada BN agar meletakkan jawatan, Wong juga menerima sokongan agar kekal sebagai ADUN dan Exco.

Bekas MB Selangor mahu Elizabeth letak jawatan

Gambar bogel: PKR tidak kompromi ambil tindakan disiplin

Malah petang semalam, Khalid yang juga Pengerusi PKR Selangor memberitahu bahawa beliau yakin bahawa Wong dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Exco dengan cekap dan berkesan.

Terdahulu Naib Presiden PKR, Azmin Ali berkata, partinya tidak mahu berkompromi dalam soal mengambil tindakan disiplin berhubung isu tersebut.

"Bagaimanapun kami tidak mahu membuat sebarang spekulasi," kata beliau.

Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Khalid dan Anwar.

"Kedua-dua mereka bersetuju bahawa kami tidak wajar berkompromi berhubung soal mengenakan tindakan disiplin.

"Kami serahkan kepada Menteri Besar untuk memutuskan jika beliau bersalah atau tidak memandangkan beliau merupakan ketua kerajaan negeri," katanya.

Bagaimanapun Azmin menambah, parti itu akan menunggu penjelasan Wong kepada Khalid yang juga Menteri Besar.

"Kami tidak mahu tahu sama ada ia gambar lama atau gambar baru. Beliau mesti menjelaskan kepada kami dan jika benar beliau bertindak sedemikian atau terlibat dalam perakaman gambar sedemikian, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan," katanya.

MB Selangor: Semua pihak harus hormati Elizabeth

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yakin Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Lanjan Elizabeth Wong yang menjadi mangsa dalam skandal pengedaran gambar bogel dapat menjalankan tugas dan tanggungjawab sebagai Exco dengan cekap dan berkesan.

"Sebagai manusia, YB Elizabeth mempunyai hak untuk menjalani kehidupan persendiriannya dan semua pihak harus menghormatinya.

"Sehubungan itu, ahli mesyuarat kerajaan negeri dan saya akan memberikan sokongan kepada beliau bagi menghadapi saat yang mencabar ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini mengenai penyiaran gambar bogel Wong di Internet yang didakwa dilakukan dalang yang ingin membunuh kerjaya politiknya.

Abdul Khalid berkata, Wong yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Negeri, telah memberi penjelasan kepada beliau mengenai perkara itu.

Oleh itu, beliau berharap orang awam tidak membuat kesimpulan atau keputusan sendiri berhubung isu itu sebelum pihak polis mengeluarkan hasil siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Wong.

Dalam pada itu, polis masih belum mengenal pasti dalang di sebalik pengedaran gambar bogel Wong.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis bagaimanapun akan merekodkan kenyataan daripada wartawan, yang memaklumkan kepada wakil rakyat itu mengenai pengedaran gambar bogel ahli politik berumur 37 tahun itu.

"Kami juga akan memanggil seorang wartawan, yang memaklumkan mengenai pengedaran gambar bogel itu kepada wakil rakyat Bukit Lanjan itu. Jadi saya harap semua pihak bersabar sehingga kami menyelesaikan siasatan kami," katanya.

Arjunaidi berkata polis masih belum menerima gambar bogel itu dan masih terlalu awal untuk mengesahkan imej siapa yang sebenarnya dalam gambar itu.

Beliau mengesahkan Wong telah membuat laporan polis di Balai Polis Damansara di Petaling Jaya kirakira 11.05 malam kelmarin selepas wartawan itu memaklumkan kepadanya mengenai pengedaran gambar berkenaan.

"Bagaimanapun laporan itu tidak lengkap kerana beliau hanya dimaklumkan oleh pihak ketiga (wartawan) mengenai pengedaran gambar bogel itu. Beliau (Wong) memberitahu polis gambar itu diambil semasa beliau sedang tidur.

"Saya ingin menasihatkan mereka yang menyimpan gambar bogel Wong supaya menyerahkannya kepada polis dan membantu penyiasatan kami," katanya dan menurutnya polis akan menyiasat kes itu mengikut Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki gambar pornografi.

Sementara itu, Wong berkata pengedaran gambar itu bertujuan berniat jahat.

Dalam satu kenyataan hari ini, katanya, pengedaran gambar bogelnya itu bertujuan mencemarkan maruahnya dan pencerobohan kehidupan peribadinya.

"Ia dilakukan orang tidak bertanggungjawab untuk mengaibkan dan menjatuhkan maruah saya.

"Ia sama seperti menceroboh kesucian hidup peribadi saya.

"Saya adalah mangsa dalam kejadian ini dan semalam saya telah membuat laporan polis berhubung perkara itu dan akan memberikan kerjasama penuh kepada polis dalam siasatan mereka," katanya dan menegaskan beliau tidak akan membuat spekulasi secara terbuka mengenai siapa yang bertanggungjawab menceroboh kehidupan peribadinya itu.

Ahli politik pembangkang itu yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor berkata, anggota keluarga, kawan dan penyokongnya memberikan sokongan padu kepadanya.

"Saya ingin merayu kepada media supaya memberikan ruang kepada saya dan keluarga saya untuk berdepan dengan cabaran ini.

"Bagaimanapun saya akan terus memberikan khidmat kepada rakyat Selangor," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain