suria

Tanding di Bukit Selambau: Ahli Kelab Penyokong PAS ubah fikiran

PETALING JAYA: Tidak sampai 48 jam selepas mengumumkan hasrat mahu tanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah, M. Kanapathy memutuskan untuk mengubah fikirannya.

Kanapathy, seorang ahli Kelab Penyokong PAS berkata, beliau memutuskan untuk menarik diri daripada bertanding selepas salah seorang calon yang disenaraipendekkan oleh Parti Keadilan Rakyat - komponen Pakatan Rakyat, akan menurunkan seorang peguam terkemuka bertanding di kawasan tersebut.

"Jika PKR memilih calon tempatan yang boleh diterima oleh pengundi kawasan ini, maka saya tidak perlu bertanding sebagai calon Bebas.

"Tetapi jika PKR mencalonkan calon luar atau seseorang yang tidak boleh diterima penduduk tempatan, saya akan mengubah fikiran dan akan bertanding," kata ahli perniagaan berusia 49 tahun di sini.

Bukit Selambau dilihat sebagai kerusi panas kerana sesiapa sahaja yang menang - sama ada sebagai calon PKR ataupun Bebas - kemungkinan besar akan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri.

Dalam pada itu, Ketua PKR Merbok, Datuk Rashid Din pula berkata, beberapa ahlinya telah menyatakan hasrat untuk bertanding di kawasan berkenaan.

"Saya mempunyai senarai lima nama. Pengerusi PKR negeri (Ahmad Kasim) dan beberapa pemimpin lain juga mempunyai senarai mereka.

"Kita serahkan kepada pemimpin PKR untuk memutuskan," katanya.

Rashid memberitahu, oleh kerana penamaan calon hanya akan berlangsung pada 29 Mac, pemimpin Pakatan Rakyat mempunyai masa yang cukup untuk membuat persiapan.

Kerusi itu kosong berikutan wakil Parti Keadilan Rakyat (PKR) V. Arumugam, 54, melepaskan jawatan pada 8 Februari lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 29 Mac dan jika ada pertandingan, pengundian pada 7 April.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain