suria

PM mahu MP BN tumpu bahas perbaiki ekonomi

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi meminta semua ahli Parlimen Barisan Nasional (BN)supaya menumpukan kepada cadangan-cadangan yang boleh memperbaiki ekonomi dalam perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong yang akan bermula esok.

Ketua Penerangan Kelab Penyokong Ahli Barisan Nasional (BNBBC), Ahmad Maslan berkata, Perdana Menteri meminta supaya ahli Parlimen BN menumpukan kepada cadangan tentang isu ekonomi kerana pada ketika ini, ekonomi dunia dan negara sedang dalam dalam kesukaran.

"Oleh sebab itu, ahli BNBBC diminta untuk memberi cadangan kepada kerajaan supaya boleh dipertimbangkan dalam Bajet Mini yang akan dibentangkan pada 10 Mac ini," katanya ketika ditemui selepas mesyuarat pra majlis BN di Parlimen, di sini selama sejam bermula pukul 2.30 petang tadi.

Sesi perbahasan titah ucapan yang di-Pertuan Agong sempena mesyuarat pertama, penggal kedua Parlimen ke-12 akan berlangsung selama dua minggu.

Ahmad yang juga ahli Parlimen Pontian berkata, Perdana Menteri memberitahu, timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak akan bertemu dengan para menteri mulai esok berhubung Bajet Mini tersebut.

"Timbalan Perdana Menteri akan bertemu dengan menteri-menteri mulai esok supaya kementerian berkaitan dapat memberikan cadangan kepada Kementerian Kewangan," katanya.

Katanya, Abdullah turut meminta ahli-ahli Parlimen memberi pandangan mengenai langkah-langkah pengukuhan ekonomi melalui pengalaman yang dilalui di kawasan masing-masing.

"Mana yang bagus pastinya akan diambil oleh Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan," katanya.

Ahmad berkata, Abdullah juga menyentuh tentang sistem penyampaian termasuk projek-projek yang sedang berjalan di luar bandar.

Ditanya sama ada Abdullah ada menyentuh mengenai pilihan raya kecil, Ahmad berkata, perkara itu tidak disentuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain